Son, Do You Want to be a Social Scientist?

 

“Yop, do you want to further your study in Sumatra after Form 3?” I asked my son.

“Do you recommend and want me to go there?” he replied.

“I’m offering you options so that you can explore and think of your future clearer” I said.

“What is the speciality of the school and studying in Sumatra? I know it is not that far. You told me it’s only one hour by flight. Easier than sending me to current school” he asked me.

Oh wow, that is very thoughtful of you.

“Well, I think you’re good at thinking. That speciality is needed for those who want to study social sciences. Many can get A’s in Maths and Chemistry. But that does not necessarily make them good thinkers.” I suggested.

“Can you tell me what social scientists do?” he asked.

“Social scientists like economists understand why Malaysian economy is now disastrous. So they wont easily say it is caused by the Prime Minister or the GST is haram because it did not exist during the Prophet’s time. So, they can analyze the selling and buying, import and export like an eagle flying above the city. Then, economists can offer suggestions. Sociologists detect pattern of thinking to answer why many youths like IS. They are so cruel and yet many love them. We cannot simply say that our youth are violent. But sociologists can do the survey, study what those people think and how they live, to suggest to link between their background and their interest. Historians know how Muslims in the past understood text from Quran. We talk about hudud, but how people in the past understood it? Was it like we imagine? If yes, do we want to repeat and improve? If no, do we still want to do, and how! Political scientists are different from politicians. Politicians might know nothing about politics and easily deviated. But political scientists can see, if you want to do this, what you should have. If people are choosing certain party, why and what is the impact. Did people vote for PAS or for Pakatan Rakyat? Social scientists have the way to find the genuine answer to that questions. They can offer suggestions.” I ‘briefly’ explained.

“It means social scientists must be good at thinking, writing and talking!” my son concluded.

“That is what Padang Panjang can train and prepare you!” I said.

“Well, I think about it” he replied.

3 hour driving was a good quality time between me and my son today.

ABAH.MY

Fadhilat Masuk Pertandingan

pertandingan

“Huh, esok Imad akan masuk pertandingan azan. Takut pula rasanya!” kata Imad.

“Tak apa. Buat yang terbaik. Hari itu bukankah abi dah tunjukkan cara-cara azan. Ada bayati, ada nahwan, Imad ‘belasah’ sahaja” saya menjawab.

“Kalau sudah takut, kenapa Imad nak masuk pertandingan?” kakak mencelah.

“Itulah tujuan masuk pertandingan, kakak. Untuk lawan rasa takut. Selain pahala jadi muazzin, apa yang lebih penting ialah pengalaman beraksi depan orang ramai tu. Kalau mahu berjaya, kita tidak boleh malu-malu” saya mengomel.

“Eh, bukankah malu itu sebahagian daripada iman?” Imad memeningkan perbincangan.

Bakat dia.

“Malu itu ialah malu buat jahat. Malu buat maksiat. Bukannya malu buat baik. Ada ke patut kita: eh, malulah nak sembahyang! Kenapa pula nak malu solat. Solat ajelah!” saya menjelaskan lagi.

Imad dan Naurah ketawa.

“Kalau abi masa sekolah dulu tidak masuk pertandingan banyak-banyak, abi tidaklah jadi abi sekarang. Takut-takut. Segan-segan. Tiada pengaruh, tak boleh nak pengaruh orang lain buat baik. Orang lain tak apa lagi, ini tak ada pengaruh kepada keluarga sendiri. Nak pengaruh Imad dan Naurah berkelakuan baik pun susah. Nanti bila kita berhujah, kena herdik dengan orang, terus menikus tak boleh berdiri mempertahankan pendapat. Macam mana nak jadi khalifah?” saya pok pek sambil memandu kereta ke sekolah.

Anak-anak bercuti hari ini dan semalam, kerana sekolah mereka sedang mengadakan peperiksaan SPPIM untuk murid tahun 6. Maka yang adik-adik dicutikan selama dua hari.

Tidak mudah untuk meyakinkan anak-anak, agar mereka ada keyakinan untuk ke hadapan. Tetapi mereka tetap perlu ke hadapan. Berbakat tetapi enggan ke hadapan kerana mahu mengelak daripada public judgement, adalah simptom yang tidak sihat berkenaan karakter anak-anak. Mereka mungkin selalu diperlekeh, diremeh, atau bakat mereka tidak dihargai. Ibu bapa perlu berusaha membantu anak keluar daripada sifat anti sosial sebegitu.

“Tapi Imad hairanlah, abi dan ummi kan dah tua, tetapi kenapa nampak macam orang muda?” tiba-tiba Imad menukar tajuk.

Dia banyak berkhayal.

“Badan gemuk, kepala botak, janggut dah beruban ni, muda lagi ke Imad?” saya bertanya.

“Oh ye ke. Hehe!” Imad ketawa.

Kereta pun sudah tiba di sekolah. Sedikit perbualan sebelum mereka kebosanan duduk di bilik saya sepanjang hari di sekolah nanti.

ABAH.MY

 

Sekolah Agama Bukan Hospital

 

 Tiada yang enak pada memperkatakan tentang masalah agamawan semasa. Masalah agamawan hari ini adalah masalah masyarakat kita 20 tahun yang lalu. Kita sedang menuai hasil usaha kita yang dahulu.

Jika anak sakit fizikal, kita pandai menghantarnya ke rumah sakit. Ke hospital. Kita tidak hantar ke sekolah menengah sains, jauh sekali ke fakulti perubatan. Sekolah menengah sains dan fakulti perubatan adalah tempat melahirkan doktor. Bukan tempat merawat pesakit.

Apabila sekolah menengah sains dan fakulti perubatan penuh dengan orang sakit, sekolah dan fakulti akan lari fokus. Kerjanya mengajar biologi, kimia, fizik, bahasa, dan mendisiplinkan pelajar agar tinggi integriti apabila menjadi doktor nanti. Tetapi dek ramai pesakit di sekolah dan fakulti, kampus penuh kuman. Hingga yang sihat pun sakit sama. Beberapa tahun kemudian, lahirlah doktor yang sakit, berpenyakit, penyakit berjangkit, dan menjangkit penyakit kepada pesakit dan orang yang tidak sakit.

Mengapa apabila anak sakit intelektual, emosional dan spiritual, (IES) kita tidak pandai mencari tempat yang betul untuk dihantar? Kita hantar anak-anak yang sakit IES ke sekolah agama, pusat tahfiz dan fakulti pengajian Islam. Bukan supaya mereka menjadi sarjana macam imam-imam yang kita baca dalam sejarah itu. Tetapi mudah-mudahan kacang hantu hilang hantunya. Sekolah agama dan fakulti pengajian Islam sepatutnya sibuk mengajar ilmu-ilmu Islam yang tinggi, mengadabkan bakal pewaris Anbiya’ menjadi ilmuan dan pejuang pembela masyarakat, berakhlaq tinggi mencontohi keperibadian Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam. 

Tetapi apa yang berlaku ialah sekolah agama dan fakulti pengajian Islam penuh orang sakit. Sakit mentaliti, sakit emosi, sakit spiritual. Jika di sekolah, pelbagai salah laku perlu diuruskan. Manakala di fakulti, pelajarnya selekeh, pemalas, belajar setakat mahu lulus, malas baca buku, dan disempurnakan dengan akhlaq keji.

Jika doktor tidak berkualiti boleh memudaratkan pesakit dan dikenakan tindakan, agamawan yang tidak berkualiti boleh memudaratkan pemikiran, akhlaq dan kehidupan masyarakat, namun tangannya tetap dicium kerana tangan agamawan ada keistimewaannya.

Ada banyak nas boleh dipakai untuk menjadikan tangan agamawan tangan yang dikucup. Walaupun mereka dahulunya sakit di zaman belajar dan masih sakit di zaman mengajar.

“Argh… Kami sudah putus asa dengan karenah agamawan hari ini!” kata kita.

Apabila anak kita dapat straight A’s, kita putus jantung jika anak mahu ke fakulti pengajian Islam dan menjadi agamawan. Hakikatnya, penderitaan kita hari ini dengan kelakuan sumbang agamawan, adalah karma hasil pilihan kita sendiri.

Falā yalūmanna illā nafsah!

ABAH.MY

Menyediakan Anak-anak yang Mudah Dididik

muridbaik-anakbaik

Saya memakai dua topi. Ada hari saya pakai topi guru. Ada hari saya pakai topi ABAH.

Hari ini saya pakai topi ABAH. Topi orang yang akan berdiri di hadapan Allah, untuk dihisab oleh-Nya tentang dirinya sebagai ketua keluarga. Sama ada Allah akan hisab kerajaan, menteri pendidikan, pegawai pendidikan daerah, pengetua, guru dan warden, yang pasti Allah akan hisab para ABAH. Adakah mereka telah melunaskan tanggungjawab sebagai ABAH, membimbing emak a.k.a isteri, dan anak-anak.

25_74

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. [al-Furqān 25: 74]

Untuk anak-anak menjadi manusia yang baik di sisi Allah, anak-anak itu memerlukan didikan dan pendidikan. Didikan di rumah oleh ibu bapanya, dan pendidikan, mungkin oleh ibu bapa, juga dengan bantuan sekolah. Didikan di rumah dengan pendidikan di sekolah, mesti bersinergi dan selari kerana dua-dua itu hakikatnya satu. Ia adalah satu proses pembentukan. Satu dibuat di rumah, satu dibuat di sekolah.

Sebagai abah, kita tidak boleh menyerahkan proses pembentukan anak bulat-bulat kepada sekolah. Sebagai abah, apa yang kita boleh dan perlu buat ialah berusaha menjadikan anak kita, anak yang mudah belajar dan diajar di sekolah. Anak yang mudah belajar dan mudah diajar itu biasanya datang ke sekolah dengan kualiti-kualiti baik yang dia bawa dari rumah.

KUALITI FIZIKAL

Anak-anak boleh belajar dengan lebih baik di sekolah jika mereka hadir dalam keadaan bertenaga. Selalunya yang berguna itu adalah sarapan pagi. Kali terakhir anak makan ialah mungkin sebelum atau selepas Maghrib malam sebelumnya. Maka jika anak tidak bersarapan, dia perlu menunggu 14 jam untuk makan snek pada jam 10 pagi.

Pelajar yang tidak bersarapan lebih muram, kurang tumpuan, tidak bertenaga untuk aktiviti pembelajarannya [www.aboutkidshealth.ca]. Ketika tiada anak ayam dan anak burung keluar sarang tanpa makanan, anak-anak ibu bapa profesional yang sibuk bekerja, tanpa belas kasihan dibiarkan ke sekolah tanpa bersarapan, dengan tiada rasa bersalah.

KUALITI MENTAL

Kemampuan berfikir tidak terjadi sekelip mata. Jika rosak, pembetulannya juga tidak sekelip mata. Pendidikan kita banyak memberi fokus kepada pembelajaran berorientasikan short term memory, dan adanya unsur permission to forget hingga menyebabkan pembelajaran sepanjang sekolah rendah mungkin tidak memupuk pemikiran aktif yang kritis lagi kreatif. Biar pun mendapat 5A di dalam UPSR, boleh sahaja terjadi, murid itu belum terangsang pemikirannya.

Rata-rata, murid sekolah rendah tinggal bersama ibu bapa. Bukan di asrama. Apa yang abah dan emak boleh buat ialah membantu anak menjadi manusia berfikir. Tidak perlu apa-apa strategi rumit, jauh sekali berbelanja mahal. Apa yang boleh dan perlu dilakukan ialah berbual-bual dengan anak, menyoal pendapatnya, memintanya menilai pendapat kita, pendek kata wujud komunikasi, dan komunikasi itu efektif. Ada soalan, ada jawapan, dijahit oleh proses ingin tahu dan berfikir.

Mendidik anak-anak yang pro berfikir sangat menyeronokkan. Tidak mahu berfikir adalah jauh lebih menyulitkan seorang guru, berbanding tidak tahu jawapan malah tidak tahu berfikir. Mahu berfikir itu adalah satu sikap, yang perlu datang dari rumah, untuk menyambut ilmu pengetahuan di sekolah.

Ibu bapa yang menyediakan anak untuk gembira belajar di sekolah adalah ibu bapa yang menyediakan anaknya sebagai manusia yang suka berfikir.

KUALITI PERASAAN (EMOSIONAL)

Jika akal fikiran itu ada kembar, maka kembarnya adalah emosi.

Adakah anak kita seorang budak atau remaja yang gembira dan bahagia? Kegembiraan yang menjadikannya semasa di sekolah tidak sabar hendak pulang ke rumah untuk menyampaikan kegembiraan di sekolah ke rumah. Kegembiraan yang menjadikannya semasa di rumah, tidak sabar hendak ke sekolah untuk menyambung kegembiraan di rumah ke sekolah.

Anak yang gembira itu adalah anak yang disayangi.

Anak yang disayangi bukan anak yang tidak pernah dimarah. Anak yang disayangi bukan anak yang tidak pernah dirotan atau didenda. Tetapi anak yang disayangi ialah anak yang memahami kasih sayang ibu bapanya, dimarahi dan dirotan dalam keadaan dia tahu salahnya di mana, mengakui kesilapan berkenaan dan menerima denda serta hukuman sebagai sesuatu yang baik untuknya.

Anak yang disayangi itu apabila dimarah, dia dimarahi dengan perkataan yang mendidik. Bukan perkataan yang menghina, merobek harga diri dan mencabul kemanusiaannya. Biasanya anak itu tidak dilabel.

“Kamu tahu tak perbuatan berbohong itu salah? Abah sudah beritahu dan mahu beritahu sekali lagi bahawa berbohong itu permulaan kepada kesalahan-kesalahan lain. Sikap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri!” adalah lebih berkesan dan masih mengekalkan rasa kasih sayang berbanding dengan ungkapan segera ibu bapa, “kamu penipu!”, “kamu pembohong!” hatta soalan “kamu nak jadi munafiq ke?”

Jika bergaduh suami isteri, jangan sampai memangsakan anak-anak. Jika bergaduh saudara-mara, jangan sampai memutuskan silaturahmi anak-anak dengan sepupu sepapat mereka.

Tidak ada remaja yang buat perangai tanpa sebab. Apabila pelajar membuat salah laku di sekolah, selalunya mereka berada di dalam satu daripada dua kategori. Sama ada mereka kepala, atau pengikut. Kelompok pengikut biasanya agak lemah membuat keputusan dan perlu diperkukuhkan. Pendidik di sekolah boleh berusaha mengukuhkan latihan free willchoose to be good dan inner speech mereka. Manakala kelompok kepala, selalunya mereka bertindak mencetus masalah sebagai melepaskan amarah.

Jalan Muhammad 8 - Akhlaq.005

Adlerian Approach in Conducting Misbehaviour

Situasi sebegini amat mencabar.

Pendidik akan berusaha memujuk pesalah laku untuk menukar tindak tanduknya sebagai ekspresi diri, kepada pengungkapan yang lebih positif, terutamanya dalam bentuk perkataan dan luahan hati. Pendidik akan menganalisis kemusykilan minda dan perasaan mereka, menyusunnya kembali agar hilang kekeliruan dan keserabutan. Jika masalah di rumah menjadi sandaran gangguan perasaan mereka, pendidik akan berusaha menanam keyakinan kepada pelajar untuk lebih positif, agar apa sahaja yang berlaku di rumah, ia ditempuh dengan jiwa yang baik, ‘memaafkan’, sabar dan redha malah ada keazaman untuk membantu ibu bapa yang tidak mustahil, memerlukan bantuan anak-anak.

Dan jika ibu bapa juga sama-sama berusaha menyihatkan kondisi keluarga serta hubungan suami isteri juga terhadap anak-anak, usaha ini Insha-Allah akan lebih lancar.

Bukan sahaja ibu bapa yang memerlukan anak-anak sebagai penyejuk hati, anak-anak juga memerlukan ibu bapa yang menyejukkan amarah mereka.

KUALITI SPIRITUAL

Apabila Luqman memulakan nasihat beliau kepada anaknya, “jangan kamu sekutukan Allah” [Q31: 13], syirik itu tidak semestinya hanya pada sang anak menyembah berhala atau sujud ke busut atau tokoh taghut penyesat manusia. Tidak mensyirikkan Allah adalah intipati paling besar dalam spiritual seorang anak, pada menjadikan si anak memilih untuk baik, kerana Allah. Bukan kerana mata ibu bapa yang memerhati, atau peraturan sekolah yang mengepung mereka.

Anak-anak perlu dipupuk memilih untuk jadi baik, dan bukan sekadar kelihatan baik. Memilih untuk jadi baik banyak dipengaruhi bukan oleh apa yang diajar, tetapi bagaimana ia diajar. Anak-anak dipupuk dengan kebolehan membuat keputusan, menentukan pilihan, dan melakukannya dengan nilai yang Allah tentukan. Yakni berdasarkan apa yang Allah nilaikan sebagai baik, dan apa yang Allah nilaikan sebagai buruk.

Jangan syirikkan Allah pada sifat kepura-puraan, tiadanya keikhlasan, mengikat amal semata-sama dengan peraturan dan undang-undang, sebagai hasil pupuk didik paling awal dan utama, oleh ibu bapa kepada anak-anak yang mereka lahirkan ke dunia ini.

PESANAN AL-JAHIZ

Di dalam Kitāb al-Mu’allimīn karya Abū ʿUthman ʿAmr ibn Baḥr al-Kinānī al-Baṣrī atau lebih dikenali sebagai al-Jāḥiẓ (776–868), beliau memberikan pembelaan kepada guru-guru sekolah mengatasi kelompok pendidik yang lain, iaitu satu bentuk penghargaan yang tidak dominan di zamannya. Malah al-Jahiz meletakkan guru di tempat tertinggi, mengungkap mereka sebagai golongan yang berilmu pengetahuan, kuat berusaha, sangat mencintai tugas mereka, dan turut secara tulus berduka apabila anak murid yang didik gagal mencapai progres yang sepatutnya.

Justeru, al-Jahiz mengingatkan ibu bapa supaya tidak menyalahkan guru apabila anak mereka lemah di sekolah. Sebaliknya mereka sepatutnya meneliti keupayaan fikiran anak mereka sendiri.

[Amr ibn Bahr al-Basri al-Jahiz, Kitab al-Muallimin, in Kitaban li-l-Jahiz: Kitab al-Muallimin wa Kitab fi l-radd ala al-mushabbiha [Two essays by al-Jahiz: “On Schoolmasters” and “Refutation of Anthropomorphists”], annotated, with an introductory study, and ed. Ibrahim Geries (Ibrahim Jiryis), 1st ed. (Tel Aviv: Department of Arabic Language and Literature, Tel Aviv University [also Akka: Matbaat alSuruji], 1980), 57–87. 11 Ib]

Saya memakai topi ABAH.

Sumbangan terbesar ABAH kepada sekolah dan pendidikan ialah menghantar anak-anak yang mudah dididik kepada guru dan sekolah.

Pendidikan bermula dari rumah.

25_75

“Mereka (pemimpin keluarga) itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya” [al-Furqān 25: 75]

ABAH.MY

Didik Jadi Manusia, Sebelum Jadi Muslim

parenting-hands-holiding

“Apa yang penting ialah ilmu agama” kata seorang bapa.

“Kalau ada ilmu agama, selamat semuanya” ujar seorang ibu.

“Tiada maknanya pandai bab-bab lain kalau bab agama kosong” tegas seorang guru.

Memberikan harapan yang sedemikian rupa kepada ‘ilmu agama’ bukanlah sesuatu yang asing. Malah ia dianggap sebagai satu perkembangan yang positif apabila kemahuan kepada agama meningkat. Akan tetapi, kesedaran tersebut perlu dibentuk agar ia dihalakan ke perjalanan yang benar.

Agama, jika yang kita maksudkan sebagai agama yang sedemikian rupa, adalah agama yang Allah wahyukan kepada manusia, untuk manusia amalkan. Jika agama menjadikan seseorang itu Muslim, sebelum dia menjadi Muslim, dia adalah manusia. Yang bersedia menerima agama Islam itu bukan gunung, atau bulan dan bintang, tidak juga malaikat mahu pun jin dan haiwan, sebaliknya manusia.

Maka manusia perlu mempunyai ciri-ciri asasnya sebagai seorang manusia untuk menyambut agama. Ciri-ciri asas itu tidak begitu bersifat keagamaan, sebaliknya ia lebih bersifat kemanusiaan. Sesuatu yang universal. Sesuatu yang boleh ada dalam kelompok mana-mana sahaja manusia, tanpa mengira manusia itu telah, sedang dan akan memilih Islam sebagai agama, mahu pun tidak.

Imam Birgivi mengemukakan pendapat bahawa akhlaq yang baik itu terbina di atas syakhsiah diri yang kuat. Kekuatan syakhsiah diri itu ada tiga iaitu:

  1. Rasional (النطق) iaitu kemampuan berfikir yang baik.
  2. Marah (الغضب) iaitu tindak balas emosi yang membantah apa yang tidak dipersetujui.
  3. Syahwat (الشهوة) iaitu keinginan untuk mendapatkan apa yang dihajat.

Ketiga-tiga equilibrium akhlaq ini sudah lahir bersama fitrah manusia.

Kanak-kanak begitu agresif kemahuannya untuk tahu. Setiap benda baru, seperti menyalakan mentol baru di dalam mindanya. Bertanya, rasa ingin tahu, menyingkap, mencuba, adalah sifat-sifat semulajadi pada diri kanak-kanak kita.

Demikian juga reaksi menangis, mengamuk dan marah apabila ada sesuatu yang tidak disukainya. Dia tidak akan mendiamkan diri atau membiarkannya begitu sahaja. Kanak-kanak akan melakukan sesuatu untuk melawan. Sekurang-kurangnya dengan menangis, kerana itu mekanisme yang paling spontan boleh dibuat.

Begitu juga dengan soal kemahuan. Jika seorang kanak-kanak mahukan sesuatu dia akan meminta, menangis, malah mungkin secara tantrum menelentangkan dirinya di lantai dan mengamuk-ngamuk, sehinggalah apa yang diinginkan tercapai.

Naluri yang begitu sudah Allah kurniakan. Tidak kira anak itu lahir di benua mana sekali pun, sikap mereka tidak banyak berbeza. Mereka responsif.

Tetapi di satu peringkat kehidupan, reaksi itu pudar.

Malas berfikir. Tiada sifat melawan. Hilang kemahuan. Remaja yang dahulunya adalah kanak-kanak yang bersedia untuk dibentuk, berubah menjadi anak muda yang sukar dibentuk kerana tidak responsif dan malas berfikir. Tiada keinginan untuk cemerlang. Gagal sekali, terus berhenti berusaha, seperti kemahuannya tidak sepenuh hati. Ada yang tidak dipersetujui, didiamkan sahaja.

Semua ini sukar untuk diukur dengan neraca agama sama ada ia Halal atau Haram, makruf atau mungkar. Sebaliknya jika diukur dengan neraca manusia, ada sesuatu yang tidak kena.

Sama ada kerana didikan di rumah, pendidikan di sekolah atau kehidupan di dalam masyarakat.

DUA YANG SATU, SATU YANG DUA

Iman dan Islam boleh jadi sama apabila disebut secara berasingan, tetapi makna kedua-duanya berbeza apabila disebut bersama-sama di dalam satu konteks. Misalnya di dalam surah al-Hujurat ayat 14, golongan Arab badwi itu berkata yang mereka telah beriman, tetapi kata-kata mereka itu disanggah dan dalam kondisi tersebut, cukup dahulu dengan kenyataan “kami baru Islam”, sebab iman belum benar-benar masuk ke hati.

Muslim dan mukmin itu adakala maknanya sama. Tetapi dalam sesetengah hal, makna setiap satunya berbeza. Demikian juga halnya dengan istilah Nabi dengan Rasul.

Demikianlah juga perihalnya dengan menjadi manusia dan menjadi muslim.

Biar pun manusiawi itu sendiri adalah Muslim dalam pandangan alam kita, hari ini kita ada keperluan untuk menyentuhnya secara berasingan kerana kini kita hidup di zaman berlakunya defisit kemanusiaan.

Anak-anak dibesarkan dalam keadaan dikongkong, kehendaknya tidak dipedulikan, perasaannya disakiti dan diabai tanpa peduli, diaibkan, ibu bapa sibuk, anak pun terlupa untuk  dipeluk, kemudian pendidikan semasa pula mahu pelajar menghafal, menekankan apa yang perlu difikir, bukannya bagaimana berfikir… semua ini menyebabkan anak-anak bengang, tertekan, murung, memberontak, lalu menjadi nakal.

Apa yang ibu bapa fikir, solusinya ialah anak-anak ini disuruh menghafal al-Quran dan belajar ilmu agama (fiqh, aqidah, sirah dan lain-lain) serta pakai pakaian yang Islamik seperti ketayap, serban, jubah dan tudung labuh. Sedangkan apa yang rosak di dalam diri anak-anak itu adalah emosi, mentaliti, self esteem … tetapi ubat yang diberi adalah ‘info agama’. Lebih malang, info agama diajar secara yang merosakkan lagi kemanusiaan pelajar-pelajar dengan pendekatan ganas, memalukan pelajar, tidak menghormatinya sebagai insan.

Dulu-dulu, hal ini tidaklah menjadi isu yang ketara sebab manusia normal tidak dehumanize manusia lain. Kini, ceritanya berbeza.

“Ajar agama, selesai masalah” menjadi solusi yang dominan, tanpa melihat komponen manusiawinya (kalau pun tidak dinamakan psikologi dan pedagogi).

Justeru, perlulah kita mempertimbangkan harapan kita kepada ‘ilmu agama’. Bahawa, ‘ilmu agama’ itu memerlukan manusia. Anak-anak kita memerlukan pendidikan yang memanusiakan mereka, sebelum mengislamkan mereka. Dan kegagalan anak-anak kita menjadi Muslim seperti yang kita mahu, mungkin bukan kerana kurangnya Islam, tetapi kerana kurangnya kemanusiaan mereka.

Bertugas di sekolah, saya tidak mahu sekolah kami dikategorikan sebagai sekolah tahfiz, sekolah agama atau sekolah akademik. Ia sekolah Metode Khalifah dan perjuangannya ialah memanfaatkan kemanusiaan manusia untuk memeluk agama. Tetapi bahasa ini bukan bahasa pasaran, dan tidak mudah untuk ibu bapa menghadam idea ini kerana secara spontannya, ibu bapa sudah tentu lebih khuatir dengan peperiksaan anak, belajar nanti universiti mana dan kemudian kerja apa.

Oleh yang demikian, titik harmoninya perlu dijayakan.

Manusia, sebelum Muslim!

ABAH.MY

Sekolah Integrasi Yang Tidak Berintegrasi

integrate

Kini sekolah integrasi tumbuh bagai cendawan.

Perkataan integrasi laku dalam pendidikan. Dalam pasaran persekolahan.

Integrasi akan membantu ibu bapa membayangkan anak-anak hanya pergi ke satu sekolah dan di sekolah itu semua sudah ada. Ada akademik, ada ilmu agama. Ada fardhu ain, ada fardhu kifayah. Anak-anak tidak perlu balik rumah di tengah hari, menukar baju, sebelum ke sekolah yang satu lagi. Makan minumnya sudah diuruskan sekolah, tiada keperluan untuk 4 trip bas sekolah, lebih selamat, dan akhirnya mungkin lebih murah.

Sekolah integrasi adalah sekolah yang memudahkan.

Cuma…

Kita mungkin tidak berlaku adil kepada makna integrasi. Integrasi pada kita hanya mengadakan dua benda di dalam satu sekolah, walaupun dua benda itu tidak berinteraksi, tidak berintegrasi. Agama di sisi akademik adalah appended, dan bukannya integrasi.

Kita mahu al-Quran wujud dalam subjek al-Quran sahaja.

Kita tidak berfikir betul-betul, sejauh mana perlunya al-Quran itu turut wujud dalam subjek selain al-Quran.

Al-Quran dalam matematik?

Al-Quran dalam sains?

Al-Quran dalam sejarah?

Al-Quran dalam geografi?

Al-Quran dalam ekonomi dan perakaunan?

Al-Quran dalam bahasa?

Al-Quran dalam seni?

Al-Quran dalam bukan sekadar apa yang diajar, tetapi al-Quran dalam bagaimana pelajaran diajar?

‘Quranik’kah cara guru mengajar?

‘Quranik’kah cara guru mengajar al-Quran itu sendiri?

Tanpa sedar, yang lahir daripada sebuah sekolah integrasi adalah seorang Muslim yang di dalam dirinya masih ada dua. Dua yang menumpang satu tubuh dan minda. Tetapi dua yang tidak berinteraksi, tidak berintegrasi. Agama dan akademiknya tiada kena mengena, kecuali pada ‘akhlaq’ yang mungkin sebenarnya bukan hasil interaksi ilmu agama dan ilmu non agamanya.

Justeru yang lahir daripada sekolah integrasi, masih seorang yang berminda sekular, sama ada dia menjadi dewasa yang berketayap, atau bertali leher.

Jurutera al-Hafiz sekular, sebab kejuruteraannya adalah kejuruteraan non Quranik. Manakala al-hafiznya dia, tidak mempengaruhi kejuruteraannya di peringkat falsafah ilmu dan seterusnya aplikasi.

Soalnya, penting sangatkah semua ini? Penting sangatkah disiasat matematik kita matematik berasaskan pandangan alam Islam, atau main belasah sahaja sebab kita percaya matematik ialah matematik. Tiada pertempuran teori dan ideologi di belakangnya?

“Entah, anak saya ok aje. Apa yang awak bisingkan?” tanya ibu, atau abah.

Saya pun terdiam.

Sekolah integrasi tumbuh bagai cendawan, cendawan yang boleh dimakan, atau cendawan racun yang memudaratkan?

ABAH.MY

 

Jenayah Phedophilia: Sudah Bersediakah Kita?

nurfitri

Ketika rakyat Malaysia bergembira dengan cuti hujung minggu yang panjang, kita dikejutkan dengan berita di United Kingdom International Business Times (www.ibtimes.co.uk). Seorang pelajar MARA jurusan Matematik di Imperial College, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23 tahun, telah dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun oleh Southwark Crown Court. Beliau mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki, menghasilkan, dan mengedar 30 ribu imej dan video lucah kanak-kanak bawah umur, 601 daripadanya adalah imej dan video kategori A.

Kategori ini membabitkan foto dan video yang memaparkan aktiviti persetubuhan dengan kanak-kanak, diungkap oleh pihak polis sebagai “... some of the most extreme images that have ever been seen by officers that work in this field,” kata Sara Keane, daripada Metropolitan Serious Crime Unit.

Semasa kediamannya di Bayswater diserbu, laptop beliau terbuka bersama patung seorang kanak-kanak lelaki bersaiz penuh di sisinya.

ibt01

www.ibtimes.co.uk

Berita itu pantas kemudiannya disiarkan di agensi berita tempatan dan segera tersebar di media sosial.

Tentu sahaja ia berita yang mengejutkan, memalukan, dan sekali gus menyedihkan kita semua, apatah lagi oleh keluarga beliau, serta kenalan juga guru-gurunya kerana nama sekolah menengah dan kolej persediaannya sebelum berlepas ke UK, disiarkan.

Tetapi, apa yang menyebabkan berita itu luar biasa adalah kerana keberhasilannya mengajak rakyat Malaysia bersuara memberikan pendapat masing-masing. Reaksi rakyat Malaysia itu, menjadikan kes ini lebih besar daripada kes seorang pesalah yang sudah pun ditentukan hukumannya. Reaksi rakyat Malaysia memperlihatkan jenayah  dalam kategori Nur Fitri ini, sebagai sesuatu yang tidak difahami, justeru ramai yang menganggap hukuman itu terlalu berat, mengapa wajah dan namanya dipaparkan di media, dan kemuncaknya ialah apabila Ahli Majlis MARA, Nazir Hussin Akhtar Hussin membuat kenyataan mengatakan bahawa MARA akan memberi peluang kedua kepada Nur Fitri untuk beliau menyambung pengajian di institusi milik MARA sekembalinya beliau ke tanah air nanti!

Itulah yang mendebarkan kita.

Komen kita bercampur aduk di antara pornografi dewasa, perkahwinan sejenis, menyimpan foto dan video namun tidak pernah melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak, serta soal peluang bertaubat, tidak tahu isi hati sebenar pesalah, malah ada juga yang mendakwa bahawa mungkin ada unsur menghina Islam yang dilakukan jika pelajar itu terus di sana!

Walaupun semuanya berkaitan dengan jenayah seksual, tetapi apabila yang dimangsakan itu adalah kanak-kanak, ia perlu berdiri dalam kategori khusus. Kanak-kanak adalah amanah dan tanggungjawab orang dewasa untuk melindungi mereka. Kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual ini berada di dalam keadaan mereka tidak memahami apa yang sedang berlaku ke atas diri mereka, dan keduanya kepercayaan mereka kepada orang dewasa itu telah dimanipulasi. Ia menjadikan jenayah ke atas mereka itu salahnya berganda-ganda, dan sangat kejam.

jimmysavile

Di UK, sudah ada banyak contoh kes yang membabitkan jenayah Paedophile, termasuk yang berprofil tinggi. Antara kes paling menggemparkan kita adalah pembongkaran kes jenayah paedophile Sir James Wilson Vincent atau lebih dikenali sebagai Jimmy Savile. Seorang tokoh media dan juara fundraising, seorang yang sangat dekat di hati masyarakat Britain, rupa-rupanya adalah syaitan bertopengkan manusia, memangsakan kanak-kanak untuk kepuasan seksualnya.Disebabkan oleh kedudukannya yang sangat ‘mulia’ di mata ramai, tuduhan-tuduhan yang timbul semasa hayatnya tidak diberi perhatian. Hanya selepas kematiannya, ratusan dakwaan keluar hingga membawa kepada penyiasatan dan pembongkaran yang menakutkan.

Dalam kes jenayah paedophile ini, janganlah dihujah seseorang itu baik, atau dalam konteks kita sebagai umat Islam, dia itu mat surau, imam dan sebagainya. Orang jahat ditakuti oleh kanak-kanak. Kebaikan orang baiknya yang menjadikan kanak-kanak percaya kepadanya dan kepercayaan itu dicabuli oleh jenayah kejam berkenaan.

Capaian di Youtube

Peter Watts, seorang bekas guru, memiliki lebih 21 ribu foto pornografi kanak-kanak. Beliau mempunyai akses yang banyak dengan kanak-kanak, termasuk melalui tugasannya sebagai jurulatih kriket. Dalam pembongkaran kes jenayahnya, Peter Watts gagal dalam usahanya menghalang BBC menamakan dirinya secara terbuka di dalam dokumentari The Hunt for Britain’s Paedophiles yang disiarkan di BBC2 pada tahun 2002. Dokumentari The Hunt for Britain’s Paedophiles ini menimbulkan banyak kontroversi dan kemarahan rakyat Britain disebabkan oleh pendedahan yang terlalu ‘terang’. Namun mungkin itulah caranya untuk memahamkan mereka yang memandang remeh realiti jenayah paedophile ini. Manusia jenis apa yang boleh terangsang melihat kanak-kanak dicabul? Kombinasi perlakuan jenayah dan sakit mental, menatijahkan kejadian yang amat menakutkan ini.

Mark Hanson yang turut dipaparkan di dalam siri ketiga dokumentari berkenaan, bekas mangsa jenayah paedophile semasa kecilnya, bertukar menjadi pemangsa yang berulang kali melakukan jenayah yang sama. Akhirnya, sehari selepas rakaman penggeledahan rumahnya oleh pihak polis, beliau nekad membunuh diri kerana tidak sanggup menjalani hukuman penjara atas pengulangan jenayah tersebut.

Paedophile tidak mudah melepaskan dirinya dari penyakit jiwa ini.

Malangnya ketegasan yang dilakukan oleh pihak berwajib di UK, menimbulkan kehairanan masyarakat kita.

LOMPONG UNDANG-UNDANG

Disebabkan oleh kuranganya pendedahan terhadap jenayah jenis ini, ramai anggota masyarakat kita tidak faham seteruk manakah kesannya kepada anak-anak kita. Berbeza dengan masyarakat di Barat, mereka telah menempuh pengalaman panjang dengan jenayah paderi di gereja Katholik yang mencabul kanak-kanak, dan hal ini mengubah persepsi mereka terhadap paedophiles untuk membentuk reaksi perundangan terhadapnya.

Undang-undang kanak-kanak di Malaysia masih mentah. Kita mempunyai kurang daripada 10 orang tenaga pakar di Universiti Awam yang membuat kajian di dalam undang-undang kanak-kanak. Kebanyakan mereka tertumpu kepada juvenile justice dan sebahagian yang lain pula tertumpu kepada hak kanak-kanak dan penganiayaan kanak-kanak, dan tidak spesifik kepada jenayah seksual paedophiles.

Akta Kanak-Kanak 2001 [rujukan] juga tidak secara jelas menyatakan sebarang peruntukan untuk melindungi kanak-kanak daripada paedophiles. Pindaan yang bakal dibentangkan di Parlimen sedikit masa lagi pun, mungkin tiada menyentuh hal ini secara khusus. Mungkin Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [rujukan] berguna untuk bertindak menangani jenayah pornografi, tetapi ia tidak mempunyai peruntukan yang dikhususkan terhadap jenayah paedophile. Sedangkan jenayah paedophile itu sendiri sudah bersifat multi-classified.

Untuk sebuah negara bernama Malaysia, belum ada peruntukan untuk campur tangan perundangan, pemantauan terhadap penjenayah paedophile, tiada pelan pemulihan (rehabilitasi) untuk pesalah serta tiada sistem sokongan dan perlindungan untuk kanak-kanak. Kita sangat-sangat jauh ketinggalan di belakang.

Saya berharap ada tenaga pakar di dalam PDRM pada menangani jenayah ini, biar pun buat masa ini kita tidak mempunyai kerangka tindakan perundangan terhadap peadophiles.

Ibu bapa, guru-guru dan anggota masyarakat perlu mendesak wakil rakyat kita membawa isu ini untuk diperdebatkan di Parlimen agar Akta Kanak-kanak 2001 boleh dipinda bagi memasukkan peruntukan ini. Kes Nur Fitri mesti menjadi pendesak kepada perubahan yang amat diperlukan ini.

IMPLIKASI PENGALAMAN SEKS KANAK-KANAK

Saya bukan pakar psikiatri.

Saya hanya anggota masyarakat yang prihatin. Melalui pembacaan dan pengalaman saya berinteraksi dengan beberapa orang anggota masyarakat yang meminta pendapat dalam hal berkaitan masalah rumahtangga mereka (mungkin kerana saya dilabel sebagai Ustaz Cinta ekoran buku Aku Terima Nikahnya), ada di antara mereka yang mengalami kecelaruan orientasi seks disebabkan oleh pengalaman seks pertama mereka semasa kanak-kanak. Mereka ini dicabul oleh lelaki-lelaki kepercayaan mereka (adik beradik, ahli keluarga terdekat, jiran, abang angkat, guru…) semasa mereka sendiri ketika itu tidak memahami apa yang sedang berlaku ke atas diri mereka.

Banyak kajian menunjukkan impak yang besar daripada pengalaman seks pertama, kepada orientasi seks seseorang itu sepanjang hayatnya. Bayangkanlah duhai pembaca, jika semasa anak-anak kita masih berusia muda, masih naif, masih belum sampai masa untuk difahamkan tentang seks kepada mereka, rupa-rupanya sudah pun menjadi mangsa. Pengalaman itu lekat di dalam jiwa mereka dan jumlah anggota masyarakat kita terutamanya lelaki, menjadi gay bagai tidak dapat dibendung-bendung lagi. Tambahan pula kebebasan internet, menjadikan segalanya bagai bencana agung yang menghancurkan generasi umat ini.

Asrama menjadi antara lokasi paling sial pada merosakkan seksualiti remaja. Jangan main-main dengan ‘main-main’ itu kerana bencananya besar.

Sebagai bapa, saya ajar anak saya untuk melindungi aurat mereka, bahagian mana yang tiada sesiapa boleh lihat apatah lagi sentuh, dan mereka mesti mempertahankan aurat mereka secara fizikal. Jika anak lemah bab ini, wajib kukuhkan. Dan sekiranya tak mampu, jangan sekali-kali duduk asrama (walaupun tidak duduk asrama pun belum tentu selamat).

Hal ini sangat serius. Tiada yang kelakarnya pada mengenang zaman asrama, berkaitan kes-kes sebegini.

SELAIN GEREJA KATOLIK

Sikap sambil lewa dan memandang remeh akan jenayah paedophile di kalangan masyarakat kita ekoran kes membabitkan Nur Fitri ini, menyebabkan saya teringat kepada  perbincangan saya dan rakan-rakan berkenaan gambar muka depan buku Orientalism oleh Edward Said.

Orientalism2
The Snake Charmer (1879) :Bahagian aurat budak lelaki itu telah saya gelapkan

Muka hadapan buku ini dihiasi dengan lukisan bertajuk The Snake Charmer, yang dilukis oleh pelukis Perancis Jean-Léon Gérôme sekitar tahun 1879. Ia ditandatangani dengan “J.L Gerome 1880”.  Lukisan berkenaan memaparkan seorang budak lelaki yang bertelanjang berdiri di atas sebuah karpet kecil di tengah-tengah sebuah bilik yang berdindingkan jubin biru, memandang ke arah menjauhi penonton, sambil memegang seekor ular sawa yang melengkar di pinggangnya membawa ke bahu. Manakala seorang lelaki tua duduk di sebelah kanak budak itu sambil bermain seruling. Persembahan itu ditonton oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang pelbagai latar belakang mereka, daripada kabilah-kabilah yang berbeza, bersama pakaian dan senjata yang juga berbagai-bagai.

Walaupun budak penjinak ular itu membuat persembahan dalam keadaan bertelanjang kerana mahu memastikan tiada helah yang disembunyikannya semasa mengawal ular, lukisan J.L Gerome ini mendatangkan secara subliminal mesej homoeroticism. Lukisan ini adalah diinspirasikan daripada lawatan J.L Gerome ke Istanbul pada sekitar tahun 1875. Biar pun ada perdebatan panjang lebar tentang sejauh mana lukisan ini menggambarkan Timur, sebagaimana yang dibahaskan di bawah topik Orientalism berkenaan, ia mengingatkan saya kepada kajian intensif yang dilakukan oleh Profesor Dr. Khaled el-Ruayheb bertajuk Before Homosexuality in the Arab-Islamic World, 1500-1800. 

khaledelrouayheb

Kajian ini meneliti sikap masyarakat terhadap homoseksualiti di zaman pra moden dunia Arab-Islam. Sikap umat Islam sering dilabel sebagai schizophrenic, kerana ia amat nyata dalam ekspresi masyarakat sepertinya ditoleransi, manakala di satu sudut pula, ia diharamkan oleh Islam. Kajian mendalam oleh Profesor Dr. Khaled el-Ruayheb ini mengemukakan satu asas yang penting untuk membetulkan kefahaman kita mengenai isu sensitif ini, bahawa di zaman berkenaan, budayanya tidak mempunyai konsep homoseksualiti, sebagaimana yang ada pada hari ini.

Keterikatan kepada nas menjadikan keingkaran hanya pada perbuatan liwat. Akan tetapi perbuatan bersedap-sedap dengan budak lelaki yang tidak mencapai tahap persetubuhan, menerima reaksi yang bercampur baur. Sebahagian melihatnya sebagai keji, sebahagian yang lain pula melihatnya sebagai tidak.

LATAR BELAKANG SAMBIL LEWA KITA

Kajian ini amat mengganggu fikiran saya kerana data-data yang dikemukakan menunjukkan aspek interaksi intim yang hari ini dianggap sebagai pencabulan seksual ke atas kanak-kanak, berada di daerah yang kabur di dalam sejarah umat Islam. Sekurang-kurangnya tiga kurun menjelang era moden, memperlihatkan umat Islam masuk ke zaman moden dengan kefahaman yang tidaklah bersifat hitam putih dalam menentukan batas halal dan haram dalam isu ini.

Jika Barat sudah membongkar salah laku gereja dalam mencabul kanak-kanak, bagaimana pula dengan kesediaan kita membongkar jenayah ini di dalam sejarah kita?

Apakah sambil lewa kita sudah berakar umbi di dalam sejarah? Sebab itu, apabila mangsa serta pemangsa dalam kes jenayah seksual seperti isu Nur Fitri ini, saya tertanya-tanya, apakah sebenarnya penyelesaian yang dimaksudkan sebagai rawatan Islam?

Saya harap lebih ramai agamawan yang berwibawa memberi reaksi kepada isu ini yang semakin meruncing!

Di sini saya kongsikan saranan penting oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy, untuk perhatian kita sekeluarga, juga guru-guru dan masyarakat, dalam melaksanakan tanggungjawab kita melindungi kanak-kanak daripada mangsa jenayah paedophile.

Teringat kira-kira 10 tahun yang lalu, semasa baru sahaja kembali ke tanah air, saya pernah berbual dengan isteri, “tidak lama lagi Malaysia ini akan ada makin ramai penjenayah yang bermasalah mental dan jenayahnya memerlukan pihak berwajib mahir membuat profiling penjenayah sebegini”:

[PEDOFILIA: PERLUKAH KITA KISAH?]

Pedofilia adalah seorang dewasa atau remaja yang mempunyai kecenderungan dan keinginan seksual terhadap kanak-kanak. Pedofilia telah lama terlepas bebas di negara kita.

Ingatkah lagi pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin pada tahun 2007 dulu? Kegagalan pihak berkuasa menangkap pembunuh adik Nurin sejak 8 tahun lalu membuktikan bahawa sekurang-kurangnya seorang pedofilia tegar masih bebas. Pedofilia dalam kes ini memperolehi kepuasan dengan mendera anak kecil secara seksual dengan kejamnya. Pedofilia yang masih bebas itu mungkin pernah mendukung anak kecil kita yang dipuji comel, dia mungkin adalah ‘friend’ Facebook kita, dia mungkin seorang ‘jaga’ di apartment kita, dia mungkin juga peniaga kantin sekolah anak kita dan dia sudah pastinya saudara mara salah seorang daripada kita. Pelbagai kemungkinan.

Dua hari lepas, kita digemparkan dengan berita tertangkapnya seorang pedofilia yang merupakan pelajar Malaysia di universiti terkemuka London. Pelajar ini menyimpan, menghasilkan dan mengedar gambar dan video pornografi kelas A yang hakikatnya adalah penderaan seksual kanak-kanak yang ekstrim. Berapa ramai lagikah mereka ini di Malaysia?

Pada awal tahun 2015, ibubapa di UK dikejutkan dengan penemuan website pedofilia berpengkalan di Rusia yang mengandungi 41 juta keping gambar kanak-kanak. Gambar-gambar tersebut disalin dari akaun media sosial milik peribadi/keluarga mangsa dan dimuatnaik ke website tersebut yang mempunyai beratus-ratus ribu pengunjung dari seluruh dunia. Petikan dari laporan, “Most of the images are accompanied by inappropriate comments from users across the world, which show they are being used for sexual gratification.”
Bayangkan jika gambar anak-anak kecil kita juga dimuatnaik ke situ.

Kebanyakan kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia adalah yang belum baligh (prepubescent), lelaki dan perempuan. Di Malaysia, pada awal tahun ini, seorang bayi berusia 7 bulan dirogol suami pengasuh di Kepong. Ini bukanlah satu-satunya kes di Malaysia yang melibatkan bayi. Ada lagi yang telah dilaporkan. Beginilah betapa jahat dan sakitnya seorang pedofilia. Adakah kita tidak perlu kisah?

BAGAIMANAKAH IBUBAPA BOLEH MELINDUNGI ANAK-ANAK DARI PEDOFILIA?

1. Sentiasa ‘connect’ dengan anak-anak dan bina kepercayaan supaya kita menjadi tempat bercerita dan mengadu.

2. Ingatkan anak-anak kecil untuk tidak menyimpan sebarang rahsia antara anak dan orang dewasa yang lain. Pedofilia selalunya memujuk anak untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka.

3. Hentikan sifat malu dan segan untuk bercakap soal seksual dengan anak-anak. Setiap hari anak-anak kita terdedah kepada unsur seksual di media, internet, iklan, sekolah dan paling menghampakan, di muka hadapan suratkhabar utama. Rancangan TV kanak-kanak dan siri kartun juga ada yang mengandungi unsur seksual dan menggunakan bahasa yang berunsul seksual. Kita mesti bersedia dan bersifat terbuka untuk mendidik anak-anak tentang isu seksual apabila perlu. Berbicaralah mengikut kesesuaian umur anak dengan bahasa yang difahami anak.

4. Sentiasa peka dengan gerak tubuh anak-anak yang mungkin mempamirkan sebarang ketidak-selesaan atau kegelisahan. Ambil tahulah.

5. Berhati-hati dengan paparan gambar dan video anak-anak di media sosial dan internet secara umumnya. Kenalkah kita siapa ‘friend’ dan ‘follower’ kita? Gambar-gambar anak kita mungkin di antara 41 juta gambar di website pedofilia yang disebut di atas. Sekarang ini mungkin ada pedofilia yang sedang berfantasi seksual melihat gambar anak-anak kita.

6. Ajar anak kecil tentang “appropriate and inappropriate touch”. Pesan kepada anak-anak lelaki dan perempuan, bahawa tubuh-badan mereka adalah milik mereka dan tidak boleh disentuh oleh orang lain termasuklah saudara-mara terdekat ataupun mereka yang berada di rumah pengasuh/nurseri/tadika.

7. Kenalpasti urusan-urusan yang membabitkan keadaan berisiko kepada anak-anak seperti membersihkan diri selepas ke tandas, bersalin pakaian, mandi dan sebagainya dan selalulah bertanyakan mereka dalam perbualan tentang siapakah yang terlibat. Contohnya, kalau tiba-tiba anak kecil bercerita bahawa pada hari ini anak penjaga yang membersihkan dirinya selepas ke tandas, atau ada orang mengambil gambar mereka mandi, anda perlu bertindak segera.

8. Ajar anak-anak teknik YELL RUN AND TELL (JERIT, LARI DAN CERITA) sekiranya mereka disentuh oleh sesiapa yang membuatkan mereka rasa tidak selesa seperti yang telah kita tunjukkan (di atas).

9. Jangan biarkan anak kecil ke tandas awam bersendirian. Iringilah anak dan tunggu sehingga anak selesai ‘berurusan’ di tandas. Kiranya kita perlu ke tandas dan anak kita berseorangan dengan kita, apa yang boleh dilakukan adalah mencari tandas awam yang mempunyai banyak unit tandas dan suruh anak kita masuk ke dalam sebuah unit tandas. Pesan kepada anak supaya terus berada di dalam unit tandas mereka yang berkunci, sehinggalah kita mengetuk dan memanggil.

10. Pasanglah parental ‘control software’ dan perisian saringan di komputer yang digunakan oleh anak-anak. Bersembanglah dengan anak-anak tentang bahaya ‘chat’ dengan sesiapa sahaja yang dikenali di internet. Pedofilia sentiasa mencari mangsa dengan merayau-rayau di internet. Mereka pandai memujuk dan bermanis kata. Mereka juga menggunakan identiti palsu supaya mudah dipercayai oleh kanak-kanak.

11. Adakan peraturan yang mewajibkan anak-anak menggunakan komputer hanya di ruang keluarga/umum di dalam rumah. Elakkan dari membenarkan anak-anak menyimpan dan menggunakan komputer di dalam bilik tidur mereka kerana sukar untuk dipantau. Ini membuka peluang untuk pedofilia ‘masuk jarum’ kerana mereka tahu anak kita tidak diawasi.

12. Elakkan memberikan telefon pintar dengan keupayaan ber’chat’ kepada anak-anak kecil.

13. Pastikan kita kenal siapa kawan-kawan rapat anak-anak kita, begitu juga guru-guru, jurulatih dan semua remaja dan orang dewasa yang terlibat dengan anak-anak kita.

14. Jangan biarkan anak kecil ke mana-mana berseorangan walaupun destinasi yang berdekatan seperti kedai, pasar malam dan sebagainya. Pedofilia mungkin telah lama memerhatikan rutin dan gerak geri anak kita. Mereka mungkin telah pun merancang sesuatu dan hanya menunggu masa untuk bertindak jahat.

15. Bekerjasama dengan pihak nurseri/pra sekolah/sekolah anak untuk melindungi anak-anak dari pedofilia.

BAGAIMANA PIHAK NURSERI/PRA-SEKOLAH/SEKOLAH BOLEH MELINDUNGI KANAK-KANAK DARI PEDOFILIA?

1. Tidak memaparkan gambar pelajar di akaun media sosial peribadi guru dan kakitangan. Yakinkah kita ‘friend’ guru-guru bukannya pedofilia? Jika ada ibubapa yg menjadi ‘friend’ guru, biarlah hanya gambar anak ibubapa itu sahaja yang dipaparkan jika dibenarkan, bukannya seluruh kelas.

2. Paparan gambar di website dan media sosial rasmi pihak sekolah perlu mendapat persetujuan (consent) ibubapa terlebih dahulu.

3. Mengawal pengambilan gambar dan video pelajar oleh guru dan kakitangan sekolah. Di sesetengah negara, guru tidak dibenarkan membawa kamera, malah telefon bimbit guru yang berkamera ditinggalkan di pejabat sepanjang waktu persekolahan untuk memastikan gambar dan video tidak dirakam sewenang-wenangnya bukan kerana urusan rasmi.

4. Banyak negara mempunyai sistem daftar-rujukan yang membolehkan sekolah dan organisasi yang terlibat dengan kanak-kanak memeriksa latar belakang mereka yang bekerja dengan kanak-kanak. Sistem ini diwujudkan untuk melindungi kanak-kanak.

5. Memantau kiranya ada kakitangan yang gemar berseloroh dengan unsur yang tidak appropriate/lucah. Ini adalah salah satu indikasi gangguan jiwa.

6. Memastikan pintu kelas mempunyai bahagian berkaca untuk melihat ke dalam kelas.

7. Tiada urusan di lakukan antara guru dan kanak-kanak di dalam bilik yang tertutup. Pintu mesti sentiasa dibuka.

8. ‘Educate’ guru, ibubapa dan pelajar tentang pedofilia bagi menunjukkan keseriusan masalah tersebut.

Prihatinlah wahai ibubapa, guru-guru dan penggubal polisi. Ambil tahulah.
Sejauh mana sesuatu masyarakat itu melindungi keselamatan anak-anak melalui kesedaran, polisi dan undang-undang, membuktikan sejauh mana masyarakat tersebut menghargai kanak-kanak.

Marilah juga kita sama-sama ‘connect’ dengan anak-anak remaja supaya mereka tidak menjadi seorang pedofilia. Semoga Allah melindungi anak-anak kita yang merupakan amanah dari Allah swt.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Lindungi anak-anak kami ya Allah.

Pembunuh anakada Nurin Jazlin Jazimin masih bebas.

HASRIZAL
Saifulislam.Com

Debat di Hujung Minggu


Walaupun balik rumah dua hari sahaja, macam-macam tajuk yang diperdebatkan antara saya dan isteri dengan anak kami.  Saya harap dengan soal jawab itu, kami menunaikan sebahagian tanggungjawab mendidiknya biar pun dia sudah duduk di asrama.

Dan keduanya, dia akan membawa fikiran yang lebih sihat dan matang di belakang kami.

Kami berdebat tentang ‘keharusan’ membaca buku konspirasi. Kata anak saya, buku konspirasi itu orang yang pendidikannya di peringkat PhD sahaja yang selamat baca. Remaja macam dia boleh meletup kalau baca. Saya kata saya sendiri tidak berapa suka buku konspirasi. Tetapi bukanlah sebab bukunya terlalu hebat. Sejak sekolah lagi saya sudah pernah membaca buku konspirasi. Zaman itu kata lagu Hotel California kalau dimainkan secara terbalik akan kedengaran suara Syaitan menyuruh kita membunuh diri. Ia konspirasi Freemason.

Saya tanya dia bukankah dia pun pernah baca buku konspirasi? Tak gila pun. Jawab beliau, “Yop tak apalah. Dah dapat bimbingan Ustaz Hasrizal!”

Nak tersembur air dari mulut saya.

“Apa benda yang Ustaz Hasrizal bimbing sampai jadi lain sangat tu?” saya tanya dia.
Dia ketawa.

Tak ada apa-apa benda pun. Cuma suruh berfikir sahaja. Bacalah apa pun, jangan baca dan percaya membuta tuli. Jadi, apa yang Ustaz Hasrizal kononnya telah ajar kepada beliau, senang sahaja untuk beliau pesankan kepada kawan-kawan yang lain. Fikir, jangan percaya membuta tuli!

BELASAH JUNIOR

Kami juga berdebat tentang keharusan membelasah junior kalau junior buat salah dan maksiat di sekolah.

“Nak buat macam mana. Dah cakap banyak kali pun buat juga” anak saya cuba mempertahankannya.

“Yop ada perancangan nak belasah sesiapa ke?” saya mahukan kepastian.

“Tak adalah, Abi. Tapi manalah tahu kalau-kalau senior nak buat. Denda pelajar sujud 30 minit mengadap kiblat ke contohnya!” kisah beliau.

Saya ketawa.

Dia pun ketawa.

“Apa-apa salah laku, ia hasil fikiran dan nafsu serta Syaitan. Syaitan kena halau. Caranya, jangan bertindak semasa marah. Fikiran, kena dibetulkan. Nafsu, kena ditarbiah. Kalau belasah, yang dibelasah dan yang membelasah jadi lebih baik ke? Kalau sujud 30 minit tu, no comment. Buat lambat je!” saya meneruskan debat.

“Dah tu, nakal sangat, takkan nak biarkan aje?” beliau masih berkeras.

“Pelajar sekolah Yop lebih jahat daripada Abu Lahab ke?” saya tanya.

Dia tersengih.

“Ala, susahlah cakap dengan Abi. Debat asyik menang je!” dia ketawa.

‘Bengkek’ dengan hujah saya.

Apabila berlaku salah laku, spontan sahaja, walaupun hafal 30 juzuk, kita memang rasa mahu belasah orang… atas nama agama. Tetapi kena ingat, Allah jadikan tubuh badan dan nyawa manusia ini suci. Jangan sewenang-wenangnya nak sentuh.

Pelajar kita kena seawal mungkin diajar menghormati dharuriyyat yang lima itu. Jangan sekali-kali pukul sesuka hati. Itu haram. Sama haramnya macam haram makan babi, haram riba. Masakan guna maksiat untuk banteras maksiat.

Jangan anggap nak pukul anak orang sebab nak pertahankan agama, benda tu jadi halal.

“Habis tu, rotan?” tanyanya lagi.

“Rotan, kena betul cara, dan dilakukan oleh yang memegang amanah. Misalnya cikgu, atau ketua pelajar yang diamanahkan. Itu pun wajib mematuhi batas-batas agama dan undang-undang. Kalau panggil ke bilik dan terajang seorang demi seorang, itu samseng. Kalau semua buat undang-undang sendiri, sekolah Yop jadi sekolah jahiliah. Sekolah rimba. Bukan sekolah tahfiz. Bukan sekolah Islam.” saya melangsaikan pusingan akhir debat.

“Tak adalah macam tu” kata anak saya.

“Sajalah abi ingatkan.” saya menambah.

“Abi datanglah ceramah di sekolah Yop!” kata anak saya.

“Orang dah ceramah panjang-panjang kat dia, sebab nak suruh dia ceramah kat sekolahlah!” saya membidas.

Teringat pula janji dengan Pak Din nak ziarah sekolah dan ceramah.

Berasap.

ABAH.MY

Bahasa Racun Ibu Bapa ke Jiwa Anak

 
“Sopannya berbahasa dengan anak. Menyampah!” – The Grumpy Cat.

“Kenapa tak solat lagi? Tak dengar apa ABAH cakap tadi? Telinga mana? Tinggal kat hutan?” herdik abah.

“Awat menangis? Pondan?” sergah emak.

Biasa dengar ayat-ayat begini? Mungkin kita sudah terlalu biasa sehingga tidak perasan yang biasa itu adalah sesuatu yang luar biasa. Yang di luar kebiasaan. Luar tabi’i. Bagaimana boleh seorang ibu atau bapa berbahasa sinis, sarcastic kepada anak sendiri?

haimginott

Dr. Haim G Ginott di dalam bukunya BETWEEN PARENT AND CHILD, mengatakan bahawa kebiasaan berbahasa sarcastic adalah satu penyakit mental yang serius di kalangan ibu. Dengan sumpahan perkataan, ibu bapa membina benteng penghalang untuk komunikasi yang efektif.

Kita tidak perasan, sergahan dengan racun sinis yang mengundang amarah hendak melawan itu menyebabkan anak-anak berfantasi untuk membalas dendam. Sarcasm tidak ada tempat dalam pendidikan dan keibubapaan.

Marah itu menyakitkan.

Marah dengan ayat ‘kelakar’ agar sakit itu dibajukan dengan kehinaan, adalah lebih menyakitkan. Anak-anak yang sering disindir oleh ibu bapa menjadi anak-anak yang jiwanya penuh dendam, memberontak dan sangat jauh daripada komunikasi yang berkesan.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) menyindir dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang disindir itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan menyindir dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang disindir itu lebih baik daripada mereka. [al-Hujurāt 49: 11]

Dengarlah nasihat pakar kanak-kanak berbangsa Yahudi itu.

Sebab ayat 11 surah al-Hujurāt itu kita sudah lama buat-buat tak nampak.

Eh, sarcastic balik?

Insaflah, insaflah, insaflah.

ABAH.MY

Hentikan Penggunaan Media Sosial Anak-anak di Bawah Umur

facebookmadness

Jika berbohong itu dipegang secara serius sebagai satu kesalahan dan dosa, ia sudah cukup untuk menjadi alasan mengapa anak-anak kita tidak sepatutnya mempunyai akaun Facebook.

How do I report a child under the age of 13?

Facebook requires everyone to be at least 13 years old before they can create an account (in some jurisdictions, this age limit may be higher). Creating an account with false info is a violation of our terms. This includes accounts registered on the behalf of someone under 13.

If your underage child created an account on Facebook, you can show them how to delete their account.

If you’d like to report an account belonging to someone under 13, please fill out this form. Note that we’ll promptly delete the account of any child under the age of 13 that’s reported to us through this form. [baca selanjutnya di sini]

Di negara seperti UK, Facebook merupakan media sosial tertinggi mencatatkan jumlah kanak-kanak melanggar had umur mereka dengan kadar 52% bagi umur antara 8-16 tahun. Ia diikuti oleh WhatsApp (40%), BBM (24%), SnapChat (11%) dan Ask.fm (8%). pada usia 10 tahun, 59% kanak-kanak telah pun menggunakan media sosial. [sumber: knowthenet.org.uk]

Bagaimana anak kita boleh ada akaun Facebook di usia sekolah rendah? Mungkin anak kita membuat akaun berkenaan sendiri, dengan berbohong tentang tarikh lahirnya. Tetapi dalam konteks Malaysia, atau sekurang-kurangnya bagi diri saya, kesalahan saya letakkan di atas bahu saya sendiri.

Saya yang membuat akaun Facebook untuk anak saya. Saya berbohong tentang tarikh lahirnya. Pesalahnya adalah saya, si bapa.

Apa yang saya fikir semasa saya buatkan akaun Facebook anak?

  1. Saya sendiri sedang rancak menggunakan Facebook. Lebih ramai, lebih meriah. Mengapa tidak anak saya turut serta?
  2. Saya mahu melengkapkan profil diri, agar jaringan saya meliputi isteri dan anak-anak, kemudian seisi keluarga.
  3. Semua kawan anak saya ada akaun Facebook, apabila anak saya tiada akaun Facebook, dia ketinggalan. Pergi ke sekolah dalam keadaan terpinga-pinga kerana terlepas ‘gosip’ sesama rakan kelasnya, seawal sekolah rendah.
  4. Cikgu beri tugasan melalui Facebook. Menggunakan Facebook atau media sosial lain untuk buat kerja sekolah, ia justified, malah sudah jatuh wajib barangkali!
  5. Anak saya guna Facebook untuk sesekali main game di atas talian. Ia adalah reward untuknya.

Kali pertama saya tersentak dengan anak saya menggunakan Facebook ialah apabila saya secara tidak sengaja (anak saya lupa log out) terbaca di akaun Facebook beliau, seorang remaja yang lebih dewasa (abang, atau sepupu) yang ada pertalian dengan salah seorang rakannya, memuat naik gambar lucah bersama ayat-ayat kurang ajar seperti saling cabar mencabar.

Mula-mula saya mahu bertindak pantas mencegah kemungkaran! Saya mahu padam dan tegur mereka. Tetapi kemudiannya saya rasa ia tidak sihat untuk hubungan anak saya bersama rakan-rakannya. Maka apa yang saya buat ialah saya sekat (block) remaja berkenaan melalui akaun anak saya agar beliau, gambar yang beliau pos, dan carutannya tersorok daripada anak saya. Namun saya masih boleh memerhati, bagaimana reaksi kawan-kawan yang lain.

Mereka marah-marah, tetapi tiada siapa yang tahu bagaimana hendak menyelesaikan kejutan berkenaan, pada usia 12 tahun! Termasuk yang kemudiannya mendapat 5A di dalam UPSR.

Lanjutan kejadian tersebut, saya duduk bersama anak dan berdialog mengenainya. Jika beliau nampak gambar lucah tersebut apa yang beliau buat? Anak saya kata beliau akan memadamnya. Saya tanya, bagaimana hendak memadam sesuatu di akaun orang lain? Dia diam.

“Adakah kamu rasa kawan-kawan kamu yang lain, mereka menundukkan pandangan dan bertindak menjauhkan diri daripada gambar lucah tersebut, atau mereka melihat dan menghayatinya?” saya bertanya lagi.

Anak saya menggelengkan kepala. Dia tidak tahu.

Dan ketika itu anak saya menerima kenyataan saya bahawa ini merupakan sebab utama mengapa saya tidak membenarkan beliau menggunakan akaun Facebook pada usia 12 tahun. Dan anak saya mungkin sudah lupa bahawa bapanya yang sebenarnya menyediakan akaun itu untuknya setahun dua yang lalu!

Kita pun sama-sama tahu, bagaimana kanak-kanak di bawah umur 13 tahun mengerumuni halaman media sosial seperti Instagram sebagai contoh, untuk pos foto dan mengumpul like daripada rakan-rakan. Mereka menggunakan pelbagai hashtag untuk menyebar luas foto yang dipos ke dalam data Instagram.

“Ala, relaks la bro. Itu pun nak kecoh!”

So what?

Mungkin ini reaksi biasa yang timbul apabila isu ini dibangkitkan. Reaksi yang menganggap had umur tidak penting. Ketahuilah, ia AMAT PENTING. Sekurang-kurangnya adalah dengan alasan berikut:

  1. MAKLUMAT PERIBADI ANAK KITA DALAM RISIKO. Anak-anak kita menyertai komuniti awam dengan hashtag mereka. Lokasi dan pelbagai lagi maklumat peribadi, terdedah kepada manusia syaitan di luar sana.
  2. KANAK-KANAK DI BAWAH UMUR 13 TAHUN BELUM SEMPURNA UPAYA FIKIR. Kepintaran anak kita menggunakan gajet, bukan bukti minda mereka juga sudah canggih untuk membuat keputusan-keputusan berkaitan etika. Kognitif mereka belum cukup untuk merumus ethical thinking, bagi menilai buruk dan baik. Kanak-kanak yang menggunakan media sosial pada usia muda, lebih cepat mengutip kosa kata cela dalam bahasa mereka. Mereka tidak alert sepenuhnya semasa menggunakan perkataan-perkataan lucah dan mencarut, sama ada di dalam bahasa Melayu, Cina, mahu pun Inggeris, yang kebanyakannya adalah terikut-ikut sahaja. Bahasa Inggerisnya ke longkang, tetapi F*** word beliau tidak lekang malam dan siang.
  3. ANAK-ANAK MENGHADAPI MASALAH TIDUR (INSOMNIA) pada usia yang sangat muda.
  4. PENGGUNAAN INSTAGRAM DAN FACEBOOK MENYUBURKAN KARAKTER NARSIS. Anak-anak kecil ini menayangkan bajunya, telefon pintar belian bapanya, cincinnya, kasutnya, dan menunggu like  dan pujian kawan-kawannya. Dewasa yang bagaimanakah bakal anak yang dikasihi ini menjadi? Me, me, me dan me?
  5. BERBOHONG ITU KEJI, BERDOSA DAN SALAH. Perlu huraikan lagi?

instagrammadness

Saya menyeru ibu bapa, hentikanlah anak-anak daripada menggunakan media sosial. Cara yang terbaik adalah dengan tidak memulakannya, bagi yang belum berbuat demikian. Bagi yang anak-anak sudah pun berada di media sosial, bincangkan dengan anak-anak kita mengapa kita belum izinkan mereka memiliki akaun Facebook. Juga Twitter, Instagram dan Whatsapp. Jangan jemu menerangkannya. Jangan penat mengulanginya.

Tutup akaun yang sudah terlajak dibuat.

Dan guru-guru, hentikan perbincangan, memberi kerja sekolah, membuat halaqah online dengan murid-murid bawah umur, hatta untuk bincang al-Quran, al-Sunnah atau apa sahaja. Dan jika anda masih beralasan, shame on you!

Media sosial semasa, terutamanya di kalangan pengguna Malaysia, penuh kecelakaan. Kasihanilah anak kita!

ABAH.MY