Layanan Terbalik Ibu Bapa Yang Pelik

Layanan Terbalik Ibu Bapa Yang Pelik

 

“Kamu ni tak faham-faham ke? Berapa kali emak nak cakap, emak ni penat!” tengking seorang ibu kepada anaknya.

Jari telunjuknya tajam mencucuk-cucuk dahi anaknya yang berusia dalam lingkungan lima ke enam tahun.

“Kamu buat apa di sini? Balik!” herdik seorang bapa kepada anak remajanya yang sedang duduk berbual bersama kawan sekelasnya.

Ayat-ayat ini adalah habuan telinga yang biasa mengiringi kita menuju dewasa. Jika tidak diri sendiri yang jadi mangsa, kawan-kawan di sekeliling biasa mengalaminya.

Entahlah, saya cukup tidak tahan melihat ibu bapa yang ‘bising’ apabila marahkan anak, terutamanya jika marah itu tidak kena cara. Ibu bapa saya bukanlah jenis yang begitu, lantas mungkin saya tidak biasa dengannya. Tetapi apakah ganjil kerana tidak biasa dengan cara begitu, dan tidka mahu ia diterima sebagai kebiasaan yang normal? Sebaliknya yang normal itu ialah pada menerima, bahawa menengking dan mengherdik merupakan cara kita mendidik anak-anak.

Saya bukan mahu bercakap tentang wajar atau tidak herdik dan tengking menjadi bahasa pilihan antara ibu bapa dan anak. Tetapi kali ini saya mahu muhasabah tentang ibu bapa yang lupa melihat kekerdilan juga kedewasaan anaknya.

LAYAN CARA KECIL ATAU DEWASA

Anak kecil dilayan seperti orang dewasa, anak yang sudah dewasa dilayan seperti budak kecil. Lantas layanan itu hanya menyemai bibit benci dan dendam anak-anak kepada ibu bapa.

Apa yang seorang anak berusia lima tahun faham, tentang keletihan dan stress seorang ibu yang baru pulang kerja selepas bergaduh dengan majikan? Seorang anak berusia lima tahun hanya faham satu perkara, iaitu ibu adalah ratu hatinya. Tempat dia mencari perhatian, kasih dan sayang. Maka anak-anak di usia lima enam tahun itu mengikut naluri yang betul apabila cuba bermesra dengan ibu dan bapanya. Dia tidak faham keletihan dan kerunsingan seorang ibu dan bapa. Dia tidak peka dan tidak peduli dengan keletihan ibu bapanya.

Ibu dan bapa adalah hero mereka. Maka mereka hanya mengharapkan ibu dan bapa yang sentiasa bersedia untuk mereka.

Anak-anak itu mahu berkongsi cerita, kisah gurau sendanya dengan kawan-kawan di sepanjang hari persekolahan. Tiba-tiba bapa melenting marahkan anak, “kamu tidak tahukah aku penat?”

Bagaimanakah akal seorang anak berusia lima tahun menafsirkan herdikan yang begitu? Sampaikah akal kanak-kanak di usia itu untuk memahami susah payah ibu bapanya bekerja? Dia masih anak kecil. Kita melayannya seperti dia sudah dewasa.

Sesungguhnya itulah ibu bapa tempang yang belum dewasa dalam menghayati naluri manusia, anaknya sendiri.

YOP KENA MARAH

“Kenapa Yop masam muka ni?” saya kehairanan. Anak saya bermasam muka sepanjang hari.

Bukan sahaja mukanya masam, gelagatnya pun lain dari biasa. Naurah menjadi mangsa kemarahannya. Bila ditegur, jadi merampus tidak tentu hala.

Kalau nak diikutkan hati, memang geram. Kita tanya secara baik, dia membalasnya dengan cara sedemikian rupa. Tetapi sebagai bapa atau ibu, kitalah yang sepatutnya sudah cukup berakal untuk mengorek isi hati si anak. Tahan sabar.

Jika seorang paediatrik berdepan dengan cabaran untuk membantu seorang budak menjelaskan sakit fizikal yang dialaminya, ibu bapa juga harus profesional dalam mengorek masalah anak-anak, terutamanya masalah jiwa dan perasaan. Emosi anak yang gagal diluahkan akan menjadi penyakit di dalam personalitinya. Janganlah kita sebagai ibu bapa yang menjadi punca virus dan bakterianya.

Semasa Yop berusia sekitar dua tiga tahun, beliau mudah ditenteramkan dengan dialog. Saya tarik dia masuk ke bilik, bercakap face to face biar pun saya tahu beliau tidaklah begitu memahami apa yang saya katakan. Tetapi sesi itu selalu selesai dengan Yop memeluk saya dengan tangisan. Tetapi apabila usianya meningkat dewasa, usaha melembutkan hatinya yang keras menjadi semakin sukar kerana dia sering keras membatu.

“Tadi cikgu marah Yop” anak saya mula mahu bercakap.

“Kenapa cikgu marah?” saya cuba lagi untuk memahaminya.

“Cikgu marah sebab buku Yop kotor. Bukan Yop buat. Naurah yang conteng” katanya. Bibir memuncung.

“Yop cakap tak pada cikgu, Naurah yang conteng buku Yop?” saya terus bertanya.

Anak saya mengangguk.

“Tapi cikgu cakap buku Yop, Yop la kena jaga” katanya.

Saya tergamam.

Jika cikgu merotan tangan anak saya kerana bukunya diconteng oleh si adik, mampukah anak saya pada usia 5 tahun faham konsep accountability dan responsibility? Saya rasa anak saya pada usia begitu hanya mampu faham, dia patut dihukum atas kesalahan yang dia buat secara langsung. Maka jika bukunya diconteng oleh Naurah, Naurahlah yang sepatutnya dikenakan tindakan, bukannya dia. Pada Yop, dia telah dihukum atas kesalahan yang dia tidak buat.

Inilah yang saya maksudkan, anak kecil dilayan macam orang dewasa.

Naurah juga masih terlalu kecil untuk faham menconteng buku abang itu salah. Pada fikirannya, ia suatu keseronokan, dan seronok itu baik.

NASIB ABANG DAN KAKAK

Selalu juga berlaku di dalam sebuah keluarga, anak sulung sama ada Abang Long atau Kak Long, sentiasa disuruh mengalah kepada adik.

“Bagilah benda tu kat adik kamu. Kamu dah besar. Dia budak lagi” marah ibu atau bapa kepada anak.

Anak sulung sering disuruh mengalah.

Tetapi jangan kita lupa, ketika anak sulung dimarah, dia sedang berada pada usia intensif pembentukan identiti dan emosi. Identitinya perlu dibangunkan, dan emosinya perlu dibentuk. Sedangkan si adik kecil yang mahu dimenangkan itu belum faham apa-apa. Maka kesilapan kita ketika marah, impaknya pergi kepada anak yang telah faham maksud kecil hati dan dendam itu.

Marah boleh marah, tetapi janganlah sampai tiada didikan dalam kemarahan itu.

Akhirnya anak sulung menjadi taat mengikut arahan. Bukan kerana jadi baik, tetapi kerana rendah keyakinan diri.

Sikap melampau ibu bapa memenangkan anak kedua, menjadi anak sulung membesar dengan inferiority complex, manakala si adik pula terus membesar dengan superiority complex. Rosak kerana dimanjakan hingga tidak belajar mengikut arahan. Si sulung terlebih menerima arahan, yang adik terlebih mendapat kelebihan.

Perbahasan lanjut mengenai peringkat pembelajaran oleh Erik Erikson ini boleh dibaca di https://www.psychologynoteshq.com/erikerikson/

Erik Erikson di dalam teori perkembangan psikososial beliau, mengusulkan bahawa kanak-kanak semenjak lahir hingga dewasa, menempuh pelbagai peringkat pembelajaran yang unik.  Di setiap peringkat umur, tindak tanduk anak-anak merupakan bentuk-bentuk pembelajaran yang memerlukan sokongan kita agar itu terbentuk dengan betul. Misalnya ada usia 18 bulan ke 3 tahun, si anak mula menerokai autonomi. Mereka mula mengambil tanggungjawab ke atas dirinya. Pakai baju sendiri, ke tandas sendiri, menyuap makanan sendiri, dan kita perlu menyokongnya. Bukan melakukan bagi pihak mereka, atau memarahi mereka apabila salah dalam melakukannya.

Demikianlah juga pada peringkat-peringkat yang lain.

Apatah lagi anak yang sudah meningkat remaja. Sudah faham erti maruah diri, membina identiti, memisahkan identiti diri daripada identiti ibu bapa, tiba-tiba marah kita memalukan dia di depan kawan-kawan, memusnahkan perkara induk yang si anak sedang bina. Ia langsung tidak mendidik malah hanya mencetuskan dendam. Janganlah buat anak remaja kita macam budak-budak. Jangan juga anak kita yang masih budak, dilayan seolah-olah dia sudah besar remaja.

“Bukanlah kuat dan tegas itu pada kuat pertarungan. Tetapi kuat dan tegas yang sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya ketika marah”

Itu pesan Nabi, sallallahu alayhi wa sallam.

Hasrizal Abdul Jamil
Oulu, FI
[Siaran semula artikel Aku Terima Nikahnya]

#ustazhasrizal #hasrizal #hasrizalabduljamil #atn #akuterimanikahnya #rumahtangga #keibubapaan #pendidikan #tarbiatulaulad

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *