Jika Mahu Anak Belajar Tentang Kesusahan

Hari ini saya seperti biasa mengulangkaji di Tellus Innovative Arena di universiti kami. Terserempak dengan anak saya yang sedang bekerja.

Rasa kelakar pun ada. Saya klien, dan beliau pekerja.

Beliau sedang mengikuti program Työelämään tutustuminen (TET). Pelajar gred 8 di sekolah beliau dikehendaki memohon kerja di mana-mana sahaja tempat bekerja sekitar Oulu malah Finland, selama 3 hari. Program internship tanpa gaji ini bertujuan mendedahkan alam pekerjaan kepada pelajar supaya mereka boleh mematangkan diri berfikir tentang ‘kehidupan sebenar’.

Saya difahamkan yang beberapa tahun lalu, ada pelajar yang terbunuh dihempap kren kerana bekerja di lokasi yang berisiko tinggi. Pengalaman bekerja mereka adalah pengalaman bekerja sebenar. Ada risiko yang perlu diambil kira, kemahiran yang perlu dipertimbangkan, serta kesediaan untuk memberi komitmen.

Para pelajar dijangka belajar tentang pengalaman menulis motivation letter sendiri, hadir ke temuduga, berdepan dengan kegagalan mendapat ‘pekerjaan dan kejayaan. Pelajar juga perlu belajar mendisiplinkan diri hadir ke tempat kerja pada masa yang dijanjikan.

Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan dunia kerja.

Permohonan kerja pertama beliau tidak berjaya.

Beliau belajar satu kesilapan iaitu memohon satu pekerjaan dan kemudian menunggu keputusan. Selepas gagal dan tinggal dua hari sebelum tarikh tutup, beliau memohon kerja di empat lokasi berbeza. Bilamana dua daripadanya menawarkan tempat, beliau perlu belajar pula bagaimana menguruskan keutamaan, menerima mana yang sesuai, kemudian menolak dengan sopan mana yang tidak sesuai.

Mudah-mudahan terubatlah daripada penyakit emel-emel ‘tak reti bahasa’ yang banyak dikeluh kesahkan oleh majikan masa kini apabila menerima permohonan kerja graduan semasa.

Jika kita mahu anak-anak belajar tentang kesusahan, program sebegini bagus untuk pendedahan. Dan mereka melakukannya secara constructivist, learning by doing. Ini lebih baik berguna berbanding lambakan homework yang terfokus hanya kepada knowledge fact, bagi perkembangan akademik semata-mata. Anak-anak sebagai pelajar, perlu memiliki learning profile yang lebih menyeluruh. Inilah yang kurikulum IB tawarkan melalui Middle Year Program.

Jika saya mahu memberi penghargaan kepada profil IB ini, penghargaan pertama ialah pada meletakkan arts, sama taraf dengan matematik, teknologi, sains dan lain-lain. Keseimbangan ini diperlukan untuk melahirkan manusia, iaitu apa yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah pendidikan yang baik.

Cuma kelebihan di sini barangkali, rata-rata para majikan mesra pelajar. Mereka mahu bekerjasama, sebab berkemungkinan para pelajar ini renyah. Boleh menyusahkan majikan dan pekerja.

Saya teringat semasa pelajar kami melakukan kajian lapangan di Melaka beberapa tahun yang lalu. Semasa mereka pergi ke kaunter info pelancongan untuk bertanya tentang Jonker St., kakitangan di situ memberitahu bahawa Jonker St. cuma nama jalan. Tiada apa-apa sejarah. Dia keberatan melayan ‘budak sekolah’.

Semoga anak saya tenang menjalani internship beliau. Cabarannya bukan setakat menyesuaikan diri di alam pekerjaan, tetapi juga bekerja di dalam suasana yang amat asing di kutub utara ini.

Saya menunggu sesi reflection yang sekolah kendalikan untuk melihat bagaimana mereka melakukan evaluation kepada pengalaman ini.

No pain, no gain.

Hasrizal
Oulu, Finland.

 

Comments

comments

2 Replies to “Jika Mahu Anak Belajar Tentang Kesusahan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *