Mengawal Masa Skrin Anak-anak


Azam saya ialah apabila di Finland, saya mahu membenarkan penggunaan telefon pintar kepada anak-anak.

Ia berbeza daripada pendirian saya semasa di Malaysia. Smart parents don’t give smart phones to their children, itu pegangan saya sebelum ini.

Saya meneliti statistik dan melihat cara telefon pintar diguna di Finland. Penggunaan telefon diterima pakai dan boleh dibawa ke sekolah. Ia banyak diguna termasuk untuk homework. Biar pun remaja Finnish pun merapu-rapu seperti remaja lain, tetapi salah guna internet termasuk pronografi, lahirnya selebriti instagram dan Youtube dengan lawak dungu yang mencacatkan jatidiri remaja, tidak ketara.

Saya tertanya-tanya kenapa begitu?

Mengapa remaja kita pelik-pelik pembawaan diri mereka apabila mempunyai akses internet melalui telefon pintar? Apabila saya memantau anak-anak bermain Minecraft di server atas talian, saya boleh lihat adanya online players yang mencurigakan, seperti cuba menggoda anak-anak. Seperti syaitan berbahasa Melayu yang sentiasa mencari peluang untuk membinasakan anak-anak.

Adakah kerana kehidupan di Malaysia kurang bermakna? Sekolah tidak seronok, kehidupan keluarga tidak seronok, berkawan tidak seronok dan tidak bermakna, lalu dicari seronok dan makna melalui aktiviti-aktiviti sedemikian rupa? Saya tidak mendakwa apa-apa. Hanya berhipotesis mencari hubung kait.

Ini bukan soal agama tidak agama. Pelajaran agama, hafal al-Quran, berjubah lagi berserban dan bertudung labuh pun tidak dapat mengecualikan pelajar daripada epidemik ini. Pelajaran agama hanyalah fakta dan tidak dihayati terutamanya apabila pembelajaran adalah berasaskan knowledge fact, tidak berlaku penghayatan dan internalisation. Jauh sekali pendekatan menghukum.

Apabila kita menghukum semata-mata, ia tidak menimbulkan keinsafan. Sebaliknya mereka akan lebih berhati-hati dengan strategi serta alasan yang lebih baik untuk salah saku seterusnya. Justeru itu, sekolah agama jangan berpuas hati dengan penekanan kepada hal-hal yang superficial terhadap anak-anak.

Apabila sampai di Finland, tiga daripada empat anak kami mempunyai telefon pintar sendiri. Dengan kelajuan 100mbps di rumah dan 50mbps di telefon, sememangnya ia heaven untuk semua. Ada di antara anak kami yang boleh mengendalikan penggunaan telefon bimbit dengan baik, dan ada yang mula bermasalah.

Di rumah kami masing-masing ada telefon bimbit, ada laptop yang dikongsi, ada smart tv, Apple TV serta Sony Playstation 4. Saya mengambil semua itu sebagai risiko dan cabaran. Sebagai pelajar sarjana di dalam bidang learning, education and technology (LET), saya mahu teknologi menjadi alat yang memberi kebaikan dalam pembelajaran dan kehidupan, bermula dengan anak-anak saya sendiri.

Apabila anak-anak mula bersekolah, penggunaan telefon bimbit jadi bertambah penting. Jarak rumah dengan sekolah adalah 2km dan setiap hari anak-anak kami berjalan kaki pergi dan balik. Jadual sekolah mereka pula tidak sama. Kadang-kadang mereka pergi berempat dan balik bersama. Tetapi seringkali juga mereka bergerak berasingan. Telefon bimbit berkenaan membekalkan rasa selamat kepada mereka kerana sentiasa boleh menghubungi saya walaupun semasa saya berada di dalam kuliah. Biar pun hal ini kelihatannya remeh, rasa selamat itu penting, sebagai bekalan anak-anak walaupun kami sudah pun hidup di salah sebuah negara paling selamat di dunia.

Anak-anak saya diberi kebenaran khusus untuk menggunakan telefon di dalam kelas untuk mengakses kamus memandangkan mereka masih di dalam proses transisi ke pendidikan berbahasa Inggeris dan Finnish. Simbol-simbol matematik di sini juga mempunyai kelainan dan kebenaran pihak sekolah untuk anak-anak kami memanfaatkan telefon pintar amat kami hargai. Selain itu, silibus Primary Year dan Middle Year Program di dalam kurikulum IB yang sangat kontekstual itu, banyak memerlukan anak-anak membuat penyelidikan. Maka penggunaan telefon pintar dan laptop sangat tinggi.

Apa yang berbaki ialah panduan mengguna pakai telefon pintar untuk leisure time mereka. Youtube, Instagram, Minecraft, Anime adalah di antara cabaran anak-anak kami.

Mulai minggu ini, sekolah anak kami menganjurkan Puasa Media Sosial dan Permainan Video selama 14 hari (mediapaasto). Ia disertai oleh semua pelajar sekolah dan guru serta kakitangan, manakala ibu bapa digalakkan menyertainya kerana anak-anak memerlukan sokongan ibu bapa untuk menjayakan kempen ini.

Di peringkat awal anak-anak tidak bersetuju dan geram. Saya cuba terangkan dengan baik bahawa sebelum datang ke Finland, saya berazam mahu anak-anak semua ada telefon bimbit. Saya yakin anak-anak boleh dibantu menggunakan telefon bimbit dengan betul kerana suasana di Finland mengubah cara ia diguna.

Dengan persetujuan anak-anak, saya telah install aplikasi Screen Time di semua telefon mereka. Aplikasi ini membolehkan saya memantau penggunaan masing-masing secara yang teratur. Anda boleh memuat turun aplikasi ini di https://screentimelabs.com/

Profesor saya di jabatan juga menggunakan app yang sama untuk mengatur penggunaan telefon pintar anaknya. Ia menambah keyakinan saya bahawa aplikasi ini adalah aplikasi yang efektif untuk tujuan tersebut. Penggunaan penuh aplikasi tersebut memerlukan yuran langganan EUR33 untuk 12 bulan bersama 2 bulan percuma apabila membayar penuh EUR33 berkenaan.

Hari ini saya baru selesai mesyuarat dengan anak-anak tentang peraturan menggunakan telefon pintar. Hasilnya adalah seperti berikut:

  1. Had maksima penggunaan dalam sehari adalah 2 jam, weekdays dan weekends. Ia tidak termasuk penggunaan panggilan telefon, kalkulator, browser, app pendidikan seperti Kahoot!, Socrative dan lain-lain di sekolah.
  2. Penggunaan masa tambahan boleh dipohon tetapi dalam bentuk ganjaran. Buat sesuatu dapat sesuatu.
  3. Telefon akan terkunci secara automatik pada jam 9 malam sehingga 8 pagi. Masa ini dipilih agar anak-anak off screen sejam sebelum tidur dan selepas bangun tidur punya waktu yang cukup dan aman untuk solat, bersiap, bersarapan sebelum bergerak ke sekolah.
  4. Ibu bapa berhak menyekat penggunaan di luar peraturan di atas sekiranya berlaku pergaduhan, atau ada peperiksaan, atau ada tetamu datang rumah dan sebagainya.
  5. Peraturan sebegini terpakai sehingga kalian berusia 18 tahun.

Kami masih mencuba dan berusaha. Apa yang penting ialah tindakan kawalan ini perlu dilakukan bersama perbincangan dan kesepakatan anak-anak. Mereka perlu melihat ia sebagai tindakan bersama-sama dan bukannya sekatan ibu bapa ke atas kebebasan mereka semata-mata.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kami untuk memperbaiki penggunaan alat-alat ini.

“Maka nikmat Allah yang manakah mahu kamu dustakan?” [al-Rahman: 13]

Hasrizal
Oulu Finland

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *