Apabila Dunia Anak Abah Tidak Lagi Seperti Dahulu

Kenangan Bersama ABAH
Kenangan bersama ABAH. Zaman itu ramai yang tidak bertudung. Ilmu agama sedikit. Tetapi orangnya baik-baik. Kenapa sekarang jadi lain?

Selepas menghantar isteri ke KLIA dan anak sulung kembali ke asrama, mood di dalam kereta agak sepi. Anak-anak mula berbual perkara yang agak deep. Terdengar pula berita jenayah di radio. Semuanya menjadikan perjalanan pulang ke rumah malam tadi, masa yang sesuai untuk bermuhasabah dengan anak-anak.

Malaysia ini tidak macam dulu. Masa Abi kecil-kecil dahulu, Malaysia sangat selamat. Di kampung, semua kanak-kanak adalah anak semua orang. Jika ada yang main lewat sampai Maghrib, sesiapa pun boleh tegur suruh balik sebab sudah Maghrib.

Cuaca baik. Tidak panas-panas yang melampau. Bencana alam tidak sekerap sekarang.

Masa itu, ilmu agama sedikit, orang perempuan tak pakai tudung. Pakai skaf sahaja. Abi pun pakai seluar pendek sampai habis sekolah rendah. Sembahyang yang betul-betul sembahyang pun apabila masuk sekolah menengah. Tetapi pada masa itu orang Malaysia berbudi bahasa. Naurah, Imad dengan Muiz pun dengar kan, lagu-lagu dulu, merdu dan liriknya baik-baik, berbudi bahasa.

Tetapi sekarang orang Malaysia suka mencarut dan kutuk orang. Ada sekali tu, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu cerita tentang dua lelaki berbalah. Seorang memaki hamun dan seorang diam. Rasulullah SAW datang dan berada bersama lelaki yang diam tu. Tetapi apabila lelaki yang diam itu membalas kutukan kawannya, Rasulullah SAW tinggalkan mereka berdua. Apabila sahabat tanya kenapa baginda tinggalkan mereka berdua, Rasulullah SAW jawab, “semasa lelaki itu diam, Malaikat menjawab bagi pihaknya  ke atas yang memaki. Tetapi apabila lelaki itu pun turut memaki, Malaikat tinggalkan mereka. Dan aku pun tinggalkan mereka. Kisah ini ada dalam al-Adab al-Mufrad.

Bayangkan, apabila hari-hari negara kita ini kita berbalas-balas makian, Malaikat tak nak duduk dengan kita. Apabila malaikat tak ada, yang banyaknya syaitan.

Sebab itu di Malaysia kita selalu rasa tak tenteram. Senang gaduh, silap sikit nak bertumbuk. Suami isteri bergaduh, bercerai berai.

Itu sekarang.

20 tahun akan datang macam mana pula?

Abi dengan Ummi pun bergaduh juga. Bukan semua benda yang Ummi buat Abi setuju. Bukan semua benda yang Abi buat Ummi setuju. Kami bergaduh. Tetapi kami tidak bergaduh panjang-panjang. Kami duduk, berbincang. Cari penyelesaian. Siapa bersalah, minta maaf. Dan kena maafkan. Dan bukan sahaja Abi dengan Ummi, anak-anak empat orang ini macam-macam perangai. Tapi kami sabar dan tak pernah putus asa. Macam mana pun kome buat perangai, Abi dan Ummi terus berusaha.

Dengar lagu Father and Son tu. Ayah dia kata nanti ayah dah tak ada. “I know, I have to go!” Samalah macam Abi dengan Ummi. One day, we have to go. Masa itu Naurah kalau dah kahwin, bergaduh dengan suami, kena ingat pesanan Abi ini. Sabar, jangan ego. Ingat Allah. Imad dan Muiz pun sama.

Kalau orang Malaysia berdegil masih maki hamun, tidak mahu vaksin anak, jika Malaysia sudah tidak selamat untuk kamu besarkan anak-anak, masa itu jika hendak berhijrah ke negara lain, pergilah. Jangan dikisah negara itu ramai Muslim atau tidak. Yang penting negara itu selamat dan rakyatnya berbudi bahasa.

Sebab itu apabila Naurah, Imad, Muiz, juga Yop di asrama pergi sekolah, Abi tak peduli kamu dapat banyak A ke sikit A. Yang Abi mahu ialah kamu belajar akhlaq mulia, boleh berfikir, apabila kawan-kawan buat perangai, macam mana nak bertindak.

Sekarang ini Abi tak bagi kamu semua guna Facebook dan ada handphone sendiri sebab smart parents won’t do that. Mungkin sekarang kamu rasa kami kolot, kampung, tapi ingat cakap Abi ni, kami buat semua ini sebab kami sayangkan kamu. Abi nak kamu selamat dunia Akhirat. Jangan ikut trend, dan jangan sombong kalau tak ikut trend. Kita semua hamba Allah.

Perjalanan membelah sepi malam.

Banyak yang anak-anak ABAH sedang fikirkan.

ABAH.MY

Comments

comments

3 Replies to “Apabila Dunia Anak Abah Tidak Lagi Seperti Dahulu”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *