Tumbangnya Keibubapaan (The Collapse of Parenting)

Keibubapaan adalah sesuatu yang sangat penting.

Bagi kita yang mengimani Akhirat, kita tidak pasti bagaimana bentuk soalan yang akan Allah tanya kepada ahli politik, ahli ekonomi, termasuk guru-guru di sekolah. Tetapi kita pasti Allah tidak akan melepaskan kita daripada tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Tanggungjawab itu pula bukan bermaksud untuk kita melepaskan diri. Sebaliknya Allah menjadikan tanggungjawab itu sebagai ramuan terbaik memanusiakan seorang manusia mengikut acuan-Nya.

Sebelum guru tadika, sebelum guru sekolah rendah, sebelum guru sekolah menengah dan sebelum pensyarah universiti, guru pertama ke atas setiap anak adalah kita, ibu bapa.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال قال النبي صلى الله عليه وسلم كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه كمثل البهيمة تنتج البهيمة هل ترى فيها جدعاء

Maksudnya: “Tidak ada bayi yang dilahirkan kecuali ia dilahirkan dalam keadaan fitrah lalu ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani (Kristian) atau Majusi. Sebagaimana seekor haiwan ternakan melahirkan anaknya yang sempurna sifat, adakah kamu rasa akan ada yang akan mejadi cacat dengan sendirinya?!” [al-Bukhari & Muslim].

Di usia 40’an, saya berasa lebih lapang untuk mengimbas keibubapaan yang saya lakukan dan yang tidak saya lakukan. Kita tidak punya apa-apa kepentingan, selain mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak, dan memohon keampunan Allah atas kelemahan dan kekurangan selama ini.

Apabila saya menghantar anak ke sekolah, saya tahu apa yang sekolah perlu buat dan apa yang kami sebagai ibu bapa perlu buat. Saya tahu apa yang saya telah buat, dan apa yang saya tidak buat. Saya sama sekali tidak mengharapkan keajaiban sekolah untuk menghasilkan apa yang hanya boleh terhasil daripada apa yang saya sepatutnya buat.

Sebelum sistem pendidikan gering, saya berpandangan keibubapaan telah terlebih dahulu gering dengan kegeringan yang lebih lama dan mendalam. Dalam kitaran supply and demand, ibu bapa mempunyai peranan yang besar dalam mencorakkan pendidikan yang diterima oleh anak-anak. Kita ada banyak salah tanggap dengan meletakkan cukai yang dibayar menjadikan kerajaan patut bertanggungjawab, yuran sekolah swasta yang dibayar menjadikan sekolah patut bertanggungjawab, sedangkan semua itu tidak dapat menebus kegagalan ibu bapa yang terlebih dahulu, melahirkan manusia yang bagaimana daripada sebuah institusi keluarga.

the collapse of parenting
The Collapse of Parenting: How We Hurt Our Kids When We Treat Them Like Grown-Ups

Leonard Sax, di dalam bukunya The Collapse of Parenting: How We Hurt Our Kids When We Treat Them Like Grown-Ups, bertanya soalan berikut:

Manakah di antara perkara berikut, yang sepatutnya diukur ketika seorang anak berusia 11 tahun, sebagai ukuran terbaik tentang kebahagiannya dan hidup dengan kepuasan sehingga sekitar 20 tahun kemudian, apabila si anak menjadi seorang dewasa di usia 31 atau 32 tahun?

  1. IQ
  2. Purata markah peperiksaan
  3. Keupayaan menguasai diri (self-control)
  4. Keterbukaan terhadap idea baru
  5. Mesra berkawan

Jawapannya ialah “3” iaitu keupayaan menguasai diri.

Sejauh mana seorang anak pada usia 11 tahun mampu mengawal dirinya, datang daripada ramuan keibubapaan yang baik. Fikirannya sihat, emosinya baik, dan beliau berada di dalam keadaan yang berkesedaran baik tentang free will serta consequences daripadanya. Leonard Sax menggariskan tiga perkara yang perlu disemai oleh ibu bapa kepada anak-anak iaitu:

  1. Didik mereka dengan sifat malu dan memelihara maruah diri
  2. Gembira
  3. Memberi makna kepada kehidupan

Kesemua hal ini memerlukan ibu bapa itu sendiri sihat akal fikirannya, luhur jiwanya dalam mendidik anak-anak, dan tidak berpura-pura terhadap apa yang disemai pada memikirkan apa yang hendak dituai. Berbualkah dengan anak-anak? Ada peluk mereka? Jika mereka salah, kita buat apa? Bahasa bagaimana yang kita pakai dalam berkomunikasi dengan mereka? Sayang mereka? Mereka percayakah yang kita sayangkan mereka?

Anak arnab berhenti menyusu pada usia 2 bulan atau lebih awal. 6 bulan kemudian, arnab sudah matang dari segi seksualiti dan bersedia untuk bunting dan melahirkan arnab. Purata usia arnab adalah 4 tahun. Usia kanak-kanak seekor arnab tidak sampai 1/10 daripada keseluruhan hidup mereka.

Kuda pula berhenti menyusu pada sekitar usia 6 bulan. Kematangan seksual kuda adalah sekitar usia 18 bulan. Zaman kanak-kanak seekor kuda hanya sekitar 12 bulan. Namun kuda pada usia 18 bulan belum mencapai usia dewasa. Seekor kuda dianggap telah dewasa sepenuhnya pada usia 4 tahun  dari perspektif ahli biologi dan veterinar. Antara umur kematangan seksual 18 bulan dan dewasa sepenuhnya seekor kuda pada umur 4 tahun, ertinya kuda menempuh usia remaja atau adolescence selama 2 tahun setengah.

Berbeza dengan manusia.

Seorang bayi manusia boleh berpisah dari susu badan pada usia setahun malah lebih awal. Usia menarche bagi kanak-kanak perempuan boleh mengandung adalah sekitar 12 tahun. Kanak-kanak lelaki mencapai kematangan seksual pada usia 13 tahun. Maka usia kanak-kanak bagi perempuan hari ini ialah sekitar 11 tahun, dan lelaki 12 tahun. Manakala usia remaja pula adalah bermula daripada usia seksual berfungsi penuh hingga ke usia menjadi dewasa, terutamanya jika dirujuk kepada perkembangan otak. Ia menjadikan usia dewasa perempuan ialah 22 tahun manakala lelaki 25 tahun. Jika ini dikira sebagai usia dewasa, maka seorang perempuan adalah remaja selama kira-kira 10 tahun, dan lelaki 12 tahun.

Mengapa usia kanak-kanak, remaja dan mencapai matang manusia jauh lebih panjang?

Leonard Sax menjawab, ia adalah mengenai BUDAYA.

Sesuatu yang unik bagi manusia. Budaya dalam erti kata  perilaku dan kebiasaan yang membentuk karakter setiap individu di dalam satu komuniti, namun tidak pada individu di dalam komuniti yang lain. Lain padang lain belalang. Proses mengajar dan belajar budaya ini adalah apa yang menjadi keutamaan di dalam pendidikan pada suatu ketika. Keutamaan di zaman tinggi pendidikan, tinggilah adab dan budaya seseorang itu. Tetapi sedikit demi sedikit, keutamaan kepada memupuk budaya, adab sopan, tatasusila, cara yang mulia dalam berinteraksi dengan orang lain, bahasa apa yang hendak dipakai, kesemuanya merosot, apabila pengukuran bagus atau tidak bagusnya seseorang adalah pada hal-hal lain yang telah disenaraikan di atas.

Pada usia kanak-kanak dan remaja ini, apakah yang dipupuk oleh ibu bapa?

Saya sendiri menempuh pengalaman yang rumit apabila memikirkan tentang memupuk budaya yang baik kepada anak-anak.

Di sebuah tadika, anak saya mengutip perkataan-perkataan yang tidak dipakai di rumah. Biar pun ia tadika Islam, murid-muridnya datang daripada latar belakang yang pelbagai. Konsentrasi sekolah kepada ‘silibus’ biar pun ‘silibus agama’, tidak dapat dilihat membantu mengikis perbendaharaan kata yang tidak manis di kalangan murid-muridnya. Anak saya suka dengan lawak jenaka yang membabitkan ludah, hingus, jelir lidah, tahi, punggung, bogel, dan yang seumpama dengannya.

Menyedari akan hal ini, kami mengambil masa yang lama untuk mencabut perkataan itu daripadanya dan menggantikannya dengan yang lebih baik. Lama itu, bukan lima bulan atau setahun, tetapi sehingga sekarang. Bertahun-tahun. Anak-anak perlu dipupuk rasa hormat kepada aurat, rasa keji terhadap kotoran, rasa malu terhadap perlanggaran. Semua ini penting supaya nanti anak tidak menjadi remaja yang mencarut dengan menggunakan kemaluan, aktiviti seksual, kerana semua itu dikontekskan semula dengan betul dalam satu tatakelola diri yang duduk dalam budaya, dan AGAMA.

Anak-anak sekarang mencarut dengan perkataan F***, dalam keadaan dia tidak menghayati apa sebenarnya perkataan itu. Mereka kutip ia daripada filem, lagu, dan kawan-kawan. Sebagai bapa, saya kuatkan hati untuk bercakap mengenai hal ini agar ia tidak menjadi vocab anak-anak saya. F*** itu perlu dikontekskan kembali sebagai fitrah manusia, ibadah, rasa malu yang sangat tinggi, perlakuan halal antara suami dan isteri melalui perkahwinan, haram antara lelaki dan perempuan tanpa perkahwinan, sehingga anak-anak sedar beban yang dipikul oleh perkataan tersebut.

Di rumah, anak-anak mengejekkah sesama mereka? Jika ya, sejauh mana kita sebagai ibu bapa komited membetulkannya? Dan membetulkannya, kita guna bahasa marah-marah, berleter atau mendidik?

Ibu bapa berotoriti melakukannya. Sekurang-kurangnya dalam budaya kita. Kita tidak mengalami masalah kekeliruan peranan (role confusion atau statusunsicherheit) sebagaimana yang kebanyakan masyarakat ‘Barat’ alami. Ibu bapa ada kuasa itu dan mereka mesti memainkannya.

Kuasa ibu bapa bukan bermaksud kuasa untuk mendisiplinkan anak-anak. Kuasa ibu bapa di sini lebih berkait dengan skala NILAI. Kuasa ibu bapa yang tinggi menjadikan ibu bapa lebih penting berbanding kawan-kawan. Dalam komuniti remaja kontemporari semasa ini, kawan-kawan lebih penting berbanding ibu bapa. Apabila kawan-kawan lebih berpengaruh berbanding ibu bapa, budaya yang menular masuk adalah BUDAYA BIADAB. Biadab ini bukan sekadar biadab terhadap ibu bapa dan mereka yang lebih tua, malah mereka biadab semasa mereka. Tiada hormat sesama mereka. Dan ia diserlahkan melalui vocabulary, ejek mengejek, gelar menggelar, buli membuli, kerana tiada rasa hormat sesama mereka.

The Culture of Disrespect
The Culture of Disrespect

Kuasa ibu bapa, tidak semestinya diserlahkan melalui pendisiplinan secara kekerasan. Tetapi apa yang lebih utama adalah hubungan ibu bapa dan anak terus utama dan relevan, bukan sahaja di zaman kanak-kanak, tetapi sepanjang menempuh keremajaan anak-anak kita.

Tanda-tanda kiamat bukan murid biadab kepada guru. Itu hanya simptom.

Tanda kiamat yang disebutkan oleh Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam ialah apabila seorang ibu melahirkan anak yang menjadi tuan ke atas ibu tersebut.

Runtuhnya sebuah keibubapaan.

ABAH.MY

Comments

comments

3 Replies to “Tumbangnya Keibubapaan (The Collapse of Parenting)”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *