Mengubah Keputusan Ibu Bapa dan Sekolah Dengan Taksonomi Bloom

IMG_2015-11-22 13:07:37

Kalau pelajar KMSS masih ingat, saya pernah kongsi dengan mereka iktibar yang kita boleh belajar daripada Kungfu Panda. Salah satunya ialah, apabila berdepan dengan situasi kehendak kita bertentangan dengan kehendak ibu bapa. Po mahu menjadi Dragon Warrior manakala ayahnya Mr. Ping mahu beliau menjadi pewaris kepada perniagaan mi mereka.

Antara kesimpulan semasa itu:

  1. Po buktikan bahawa cita-citanya adalah benar, tulen, dan beliau membuktikannya.
  2. Po tidak menyakiti hati Ping kerana walaupun ayahnya merancang sesuatu yang berlainan dan kelihatan tidak mempedulikan hasrat Po yang terbuku di hati, di sebalik keinginan ayah itu ialah seorang ayah mahukan apa yang dia percaya itu adalah yang terbaik untuk anaknya.
  3. Adakah hasrat kita itu terbaik untuk kita? Kita perlu membuktikannya dengan bijaksana.

Hari ini Allah uji mereka.

Kehendak diri, kehendak sekolah, kehendak ibu bapa (kami sudah hapuskan kehendak pegawai daerah, pengarah atau menteri daripada mengganggu mereka), ada yang bertentangan.

Ada yang mahu terus bersekolah di KMSS, tetapi ibu bapa mahu berhentikan mereka.

Ada yang mahu tinggal di asrama, sekolah memutuskan itu bukan pilihan untuk mereka.

Ada yang tidak mahu tinggal di asrama, tetapi ibu bapa mahu mereka tinggal di asrama.

Anak-anak semua, Allah tidak uji melainkan Dia Tahu kita mampu menghadapinya. Walaupun di sekolah kita belajar Matematik, Sains, Tauhid, Sejarah, Fiqh dan pelbagai subjek, semua subjek itu bertemu pada dua benda iaitu, mengajar kalian BERFIKIR, dan macam mana dengan berfikir itu kamu sampai kepada ALLAH.

Kami sediakan kurikulum dan sistem pembelajaran di sekolah, bukan bermatlamat untuk kamu lulus peperiksaan semata-mata. Apa yang lebih utama ialah, kamu mendapat kebolehan untuk mengurus hidup kamu. Menyelesaikan masalah yang dihadapi. Bahkan tahu apa masalah yang terjadi.

Itulah yang kamu perlu gunakan sekarang.

taxonomy-b

REMEMBERING

Dalam situasi sekarang ini, ingat kembali butiran kejadian-kejadian yang berlaku. Mula-mula utamakan kebaikan. Ingat kebaikan-kebaikan yang kamu buat sama ada kepada diri sendiri, kepada orang lain, atau kepada persekitaran. Kedua, ingat pula pilihan-pilihan yang salah yang kamu telah buat, sengaja buat, dibuat secara tidak sengaja, dan lebih bagus, jika dapat dikenal pasti perbuatan yang dilakukan dalam keadaan tidak sedar.

UNDERSTANDING

Berdasarkan ingatan kamu, cuba fahami mengapa perbuatan itu baik, mengapa perbuatan itu salah. Catatkan di sehelai kertas, jika kamu memilih untuk buat satu perkara, tuliskan mengapa perbuatan itu salah, sama ada dari segi agama, peraturan sekolah atau apa sahaja asas kesalahannya yang kamu faham.

APPLYING

Cuba timbangkan antara yang baik dengan yang tidak baik, mana yang lebih banyak. Jika kebaikan lebih banyak (dan ustaz yakin kebaikan lebih banyak), perhatikan perkara negatif dan salah yang sedikit itu, benarkah ia sebanyak itu? Adakah lagi yang tertinggal.

ANALYZING

Cuba tengok, jika baik lebih banyak daripada salah, mengapa salah itu boleh menyebabkan ia mempengaruhi keputusan sekolah atau keputusan ibu bapa? Kuantitinya mungkin kecil, satu, dua atau tiga, tetapi bagaimana dengan kualiti kesalahan berkenaan? Adakah mudaratnya berganda? Adakah ia telah menyebabkan orang lain terkesan sama? Atau kesalahan itu meletakkan kepentingan ramai terganggu atau terancam. Lakukan proses ini dengan tenang dan ikhlas, jujur kepada diri sendiri, menjauhi emosi dan sifat berat sebelah.

EVALUATING

Kritik keputusan yang dibuat. Kamu mesti yakin dengan pendirian kamu. Jika kamu yakin keputusan yang ibu bapa atau sekolah buat itu tidak tepat, kemukakan pendapat kamu. Hujahkan. Gunakan semua ilmu pengetahuan yang kamu ada untuk meyakinkan ibu bapa kamu dan pihak sekolah bahawa mereka perlu menilai kembali malah mengubah keputusan yang sudah diputuskan.

CREATING

Nyatakan apa pelan kamu untuk perubahan. Apa yang kamu rancang untuk membolehkan aspek-aspek kelemahan yang dikenal pasti tadi boleh dielak daripada berulang. Kamu mahu adjust aspek yang mana dalam kehidupan akademik dan kehidupan asrama? Berikan pelan tersebut.

Dalam pelan tersebut ada rahmat Allah Insha-Allah. Ada keajaiban yang besar, dan ia boleh mengubah apa yang telah kamu sangkakan berlaku. Malah buat pelan A, pelan B dan pelan C.

Kerja ini kamu tidak boleh copy paste daripada Wikipedia. Kamu tidak boleh tiru kawan sebelah. Tiada buku teks yang boleh memberitahu ini jawapannya. Tiada koleksi soalan tahun lepas yang boleh dirujuk. Malah tiada skema pemarkahan, malah markah tidak penting langsung.

Khalifah Model School (Secondary) mahu kamu berdiri di atas kaki sendiri. Sedikit demi sedikit, kami semua akan pergi dari hidup kamu, dan kamu akan memikul tanggungjawab untuk membuat keputusan, serta bertindak. Walaupun sering apa yang kami lakukan kepada kamu disalah erti, sesungguhnya demi Allah, sebelum kamu gelisah dengan apa yang terjadi kepada kamu, kami terlebih dahulu dukacita dan sentiasa menginginkan hanya satu untuk kamu: Kejayaan di Dalam KEHIDUPAN Dunia dan di Akhirat.

Cubalah sayang.

Lakukan saranan di atas.

ABAH.MY
(Ustaz Hasrizal)

Comments

comments

One comment

  1. ohcikgu says:

    Yap.

    Memang terap murid-murid dengan benda ni.

    Tak susah.

    Janji faham konsep.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *