Mengubah Keputusan Ibu Bapa dan Sekolah Dengan Taksonomi Bloom

IMG_2015-11-22 13:07:37

Kalau pelajar KMSS masih ingat, saya pernah kongsi dengan mereka iktibar yang kita boleh belajar daripada Kungfu Panda. Salah satunya ialah, apabila berdepan dengan situasi kehendak kita bertentangan dengan kehendak ibu bapa. Po mahu menjadi Dragon Warrior manakala ayahnya Mr. Ping mahu beliau menjadi pewaris kepada perniagaan mi mereka.

Antara kesimpulan semasa itu:

  1. Po buktikan bahawa cita-citanya adalah benar, tulen, dan beliau membuktikannya.
  2. Po tidak menyakiti hati Ping kerana walaupun ayahnya merancang sesuatu yang berlainan dan kelihatan tidak mempedulikan hasrat Po yang terbuku di hati, di sebalik keinginan ayah itu ialah seorang ayah mahukan apa yang dia percaya itu adalah yang terbaik untuk anaknya.
  3. Adakah hasrat kita itu terbaik untuk kita? Kita perlu membuktikannya dengan bijaksana.

Hari ini Allah uji mereka.

Kehendak diri, kehendak sekolah, kehendak ibu bapa (kami sudah hapuskan kehendak pegawai daerah, pengarah atau menteri daripada mengganggu mereka), ada yang bertentangan.

Ada yang mahu terus bersekolah di KMSS, tetapi ibu bapa mahu berhentikan mereka.

Ada yang mahu tinggal di asrama, sekolah memutuskan itu bukan pilihan untuk mereka.

Ada yang tidak mahu tinggal di asrama, tetapi ibu bapa mahu mereka tinggal di asrama.

Anak-anak semua, Allah tidak uji melainkan Dia Tahu kita mampu menghadapinya. Walaupun di sekolah kita belajar Matematik, Sains, Tauhid, Sejarah, Fiqh dan pelbagai subjek, semua subjek itu bertemu pada dua benda iaitu, mengajar kalian BERFIKIR, dan macam mana dengan berfikir itu kamu sampai kepada ALLAH.

Kami sediakan kurikulum dan sistem pembelajaran di sekolah, bukan bermatlamat untuk kamu lulus peperiksaan semata-mata. Apa yang lebih utama ialah, kamu mendapat kebolehan untuk mengurus hidup kamu. Menyelesaikan masalah yang dihadapi. Bahkan tahu apa masalah yang terjadi.

Itulah yang kamu perlu gunakan sekarang.

taxonomy-b

REMEMBERING

Dalam situasi sekarang ini, ingat kembali butiran kejadian-kejadian yang berlaku. Mula-mula utamakan kebaikan. Ingat kebaikan-kebaikan yang kamu buat sama ada kepada diri sendiri, kepada orang lain, atau kepada persekitaran. Kedua, ingat pula pilihan-pilihan yang salah yang kamu telah buat, sengaja buat, dibuat secara tidak sengaja, dan lebih bagus, jika dapat dikenal pasti perbuatan yang dilakukan dalam keadaan tidak sedar.

UNDERSTANDING

Berdasarkan ingatan kamu, cuba fahami mengapa perbuatan itu baik, mengapa perbuatan itu salah. Catatkan di sehelai kertas, jika kamu memilih untuk buat satu perkara, tuliskan mengapa perbuatan itu salah, sama ada dari segi agama, peraturan sekolah atau apa sahaja asas kesalahannya yang kamu faham.

APPLYING

Cuba timbangkan antara yang baik dengan yang tidak baik, mana yang lebih banyak. Jika kebaikan lebih banyak (dan ustaz yakin kebaikan lebih banyak), perhatikan perkara negatif dan salah yang sedikit itu, benarkah ia sebanyak itu? Adakah lagi yang tertinggal.

ANALYZING

Cuba tengok, jika baik lebih banyak daripada salah, mengapa salah itu boleh menyebabkan ia mempengaruhi keputusan sekolah atau keputusan ibu bapa? Kuantitinya mungkin kecil, satu, dua atau tiga, tetapi bagaimana dengan kualiti kesalahan berkenaan? Adakah mudaratnya berganda? Adakah ia telah menyebabkan orang lain terkesan sama? Atau kesalahan itu meletakkan kepentingan ramai terganggu atau terancam. Lakukan proses ini dengan tenang dan ikhlas, jujur kepada diri sendiri, menjauhi emosi dan sifat berat sebelah.

EVALUATING

Kritik keputusan yang dibuat. Kamu mesti yakin dengan pendirian kamu. Jika kamu yakin keputusan yang ibu bapa atau sekolah buat itu tidak tepat, kemukakan pendapat kamu. Hujahkan. Gunakan semua ilmu pengetahuan yang kamu ada untuk meyakinkan ibu bapa kamu dan pihak sekolah bahawa mereka perlu menilai kembali malah mengubah keputusan yang sudah diputuskan.

CREATING

Nyatakan apa pelan kamu untuk perubahan. Apa yang kamu rancang untuk membolehkan aspek-aspek kelemahan yang dikenal pasti tadi boleh dielak daripada berulang. Kamu mahu adjust aspek yang mana dalam kehidupan akademik dan kehidupan asrama? Berikan pelan tersebut.

Dalam pelan tersebut ada rahmat Allah Insha-Allah. Ada keajaiban yang besar, dan ia boleh mengubah apa yang telah kamu sangkakan berlaku. Malah buat pelan A, pelan B dan pelan C.

Kerja ini kamu tidak boleh copy paste daripada Wikipedia. Kamu tidak boleh tiru kawan sebelah. Tiada buku teks yang boleh memberitahu ini jawapannya. Tiada koleksi soalan tahun lepas yang boleh dirujuk. Malah tiada skema pemarkahan, malah markah tidak penting langsung.

Khalifah Model School (Secondary) mahu kamu berdiri di atas kaki sendiri. Sedikit demi sedikit, kami semua akan pergi dari hidup kamu, dan kamu akan memikul tanggungjawab untuk membuat keputusan, serta bertindak. Walaupun sering apa yang kami lakukan kepada kamu disalah erti, sesungguhnya demi Allah, sebelum kamu gelisah dengan apa yang terjadi kepada kamu, kami terlebih dahulu dukacita dan sentiasa menginginkan hanya satu untuk kamu: Kejayaan di Dalam KEHIDUPAN Dunia dan di Akhirat.

Cubalah sayang.

Lakukan saranan di atas.

ABAH.MY
(Ustaz Hasrizal)

Perbandingan Anak, Bukan Cara Terbaik Menilai Mereka

“Jangan dibandingkan anak-anak kita!” mungkin sudah menjadi sesuatu yang kita biasa dengar. Saya cuba untuk memahami mengapa ibu bapa membandingkan anak-anak mereka? Mereka sudah diberitahu bahawa perbuatan membandingkan anak-anak itu kurang sedikit sahaja daripada membunuh mereka, sebab perbuatan itu membunuh jati diri, keyakinan diri dan kebahagiaan hidup mereka. Tetapi mengapa ibu bapa masih buat? Masih melukakan hati anak-anak?

Saya andaikan, mungkin antara sebab ibu bapa membuat perbandingan ialah, ibu bapa mahu mengukur perkembangan anak-anak. Cara paling mudah mengukur anak ialah dengan membuat perbandingan. Saya pendek sebab dia tinggi. Saya pandai sebab dia bodoh. Bukti saya pandai ialah saya hafal 10 juzuk manakala dia hafal 5 juzuk. Sedangkan, perbandingan bukanlah sentiasa cara yang betul mengukur sesuatu. Kita abaikan banyak faktor lain, ramuan tidak sama, jenis tidak sama, ukur hasil guna cara serupa. Ia adalah proses logik yang tidak benar.

Tolak ketepilah dari segi faktor luaran seperti samakah kemudahan, samakah sistem, samakah makanan, cuaca, pakaian, dan senarai tersebut boleh berpanjangan. Cukup dengan kita timbangkan FAKTOR DALAMAN. Adakah anak A auditori? Adakah anak B visual? Adakah anak C kinestetik? Cara belajar mereka tidak sama. Fasa perkembangan mereka juga berbeza-beza. Subjek yang mereka gemar serta boleh ‘score‘ juga lain-lain.

Blooms-taxonomy

Jika kita nilai berapa banyak dia tahu dan hafal (hafal Quran, hafal fakta sejarah, hafal formula sains, tahu macam-macam benda), maka yang kita nilai itu adalah remembering, iaitu hanya satu bahagian kecil daripada kebolehan berfikir. Malah ia adalah kebolehan berfikir aras rendah.

Anak yang kurang kuantiti remembering, cuba tanya soalan meminta dia berpendapat? Boleh memberikan pandangannya terhadap satu masalah di dalam keluarga? Ada perancangan tentang apa strateginya untuk belajar? Soalan-soalan ini menilai bahagian-bahagian lain yang wujud di dalam kebolehan berfikir anak. Apakah tiada perkembangan anak di situ? Mungkinkah anak yang kurang hafalannya, lebih matang daripada anak yang juara dalam menghafal? Siapa penyelesai masalah keluarga, masyarakat dan dunia? Yang banyak menghafal atau yang mampu memahami, mengaplikasi, menganalisa,  menilai dan merangka pelan! Tanpa saya nafikan, hafalan juga ada kepentingannya.

Saya kira, ramai ibu bapa bergantung hanya kepada keputusan peperiksaan untuk menilai anak. Maka saya ingin sarankan, lakukanlah assessment kepada anak secara berterusan dan lebih organik. Setiap kali berbual dengan mereka, nilaikan perbualan mereka, nilaikan kualiti lawak jenaka mereka, perhatikan cara mereka menyelesaikan masalah kehidupan mereka, tanya mereka soalan-soalan yang open ended… Hasil penilaian sebegini lebih organik dan mencerminkan perkembangan sebenar anak-anak. Barulah kita boleh dakwa “aku lebih tahu tentang anak aku!”

Salah satu sebab mengapa anak-anak yang tidak mencapai standard kita itu kemudiannya berjaya dalam hidup ialah, tekanan yang kita kenakan itu memaksa mereka untuk buktikan bahawa mereka juga istimewa dan berharga. Dan jangan pula apabila mereka berjaya, kita dengan mudah mendakwa ia hasil didikan kita. Sedangkan sesungguhnya kitalah punca mereka tidak bahagia semalam dan semalam-semalamnya.

Mungkinkah jika kita raikan kelainan mereka dan mendorong mereka dengan kasih sayang yang membahagiakan, mereka menjadi lebih hebat dan tidak perlu memujuk hati memaafkan kita, ibu bapa mereka sendiri?

 

Jika benar-benar kasihkan anak, hargailah mereka sebagai individu yang unik.

Lakukan Holland Code test ke atas mereka.

Jika mereka itu Realistic + Social (RS), maka pekerjaan yang dikatakan sesuai dengan mereka ialah pemandu bas, pemandu trak, bomba, polis dan pegawai penjara. Mengapakah bidang-bidang itu masyarakat kita pandang rendah? Mungkin kerana budaya dan sistem pendidikan kita tidak merestui calon polis terbaik menjadi polis. Jika personalitinya menjurus kepada kerjaya pemandu bas, fikirkanlah apa yang seorang RS boleh lakukan kepada industri bas sewa, bas sekolah, bas persiaran dan bas kilang? Betapa efisyennya sistem bas yang dikendalikan oleh RS? Berapa banyak nyawa yang boleh diselamatkan daripada kemalangan maut bas di lebuh raya? Dan betapa bahagianya rumahtangga yang suami dan ayahnya adalah RS yang bekerja dalam industri bas?

Bantulah anak untuk memenuhi impian mereka. Jangan jadikan mereka buruh paksa yang dikerah untuk memenuhi impian kita, biar pun kita ibu bapa mereka, kerana mereka bukan kita, dan kita bukan mereka.

ABAH.MY