Didik Jadi Manusia, Sebelum Jadi Muslim

parenting-hands-holiding

“Apa yang penting ialah ilmu agama” kata seorang bapa.

“Kalau ada ilmu agama, selamat semuanya” ujar seorang ibu.

“Tiada maknanya pandai bab-bab lain kalau bab agama kosong” tegas seorang guru.

Memberikan harapan yang sedemikian rupa kepada ‘ilmu agama’ bukanlah sesuatu yang asing. Malah ia dianggap sebagai satu perkembangan yang positif apabila kemahuan kepada agama meningkat. Akan tetapi, kesedaran tersebut perlu dibentuk agar ia dihalakan ke perjalanan yang benar.

Agama, jika yang kita maksudkan sebagai agama yang sedemikian rupa, adalah agama yang Allah wahyukan kepada manusia, untuk manusia amalkan. Jika agama menjadikan seseorang itu Muslim, sebelum dia menjadi Muslim, dia adalah manusia. Yang bersedia menerima agama Islam itu bukan gunung, atau bulan dan bintang, tidak juga malaikat mahu pun jin dan haiwan, sebaliknya manusia.

Maka manusia perlu mempunyai ciri-ciri asasnya sebagai seorang manusia untuk menyambut agama. Ciri-ciri asas itu tidak begitu bersifat keagamaan, sebaliknya ia lebih bersifat kemanusiaan. Sesuatu yang universal. Sesuatu yang boleh ada dalam kelompok mana-mana sahaja manusia, tanpa mengira manusia itu telah, sedang dan akan memilih Islam sebagai agama, mahu pun tidak.

Imam Birgivi mengemukakan pendapat bahawa akhlaq yang baik itu terbina di atas syakhsiah diri yang kuat. Kekuatan syakhsiah diri itu ada tiga iaitu:

  1. Rasional (النطق) iaitu kemampuan berfikir yang baik.
  2. Marah (الغضب) iaitu tindak balas emosi yang membantah apa yang tidak dipersetujui.
  3. Syahwat (الشهوة) iaitu keinginan untuk mendapatkan apa yang dihajat.

Ketiga-tiga equilibrium akhlaq ini sudah lahir bersama fitrah manusia.

Kanak-kanak begitu agresif kemahuannya untuk tahu. Setiap benda baru, seperti menyalakan mentol baru di dalam mindanya. Bertanya, rasa ingin tahu, menyingkap, mencuba, adalah sifat-sifat semulajadi pada diri kanak-kanak kita.

Demikian juga reaksi menangis, mengamuk dan marah apabila ada sesuatu yang tidak disukainya. Dia tidak akan mendiamkan diri atau membiarkannya begitu sahaja. Kanak-kanak akan melakukan sesuatu untuk melawan. Sekurang-kurangnya dengan menangis, kerana itu mekanisme yang paling spontan boleh dibuat.

Begitu juga dengan soal kemahuan. Jika seorang kanak-kanak mahukan sesuatu dia akan meminta, menangis, malah mungkin secara tantrum menelentangkan dirinya di lantai dan mengamuk-ngamuk, sehinggalah apa yang diinginkan tercapai.

Naluri yang begitu sudah Allah kurniakan. Tidak kira anak itu lahir di benua mana sekali pun, sikap mereka tidak banyak berbeza. Mereka responsif.

Tetapi di satu peringkat kehidupan, reaksi itu pudar.

Malas berfikir. Tiada sifat melawan. Hilang kemahuan. Remaja yang dahulunya adalah kanak-kanak yang bersedia untuk dibentuk, berubah menjadi anak muda yang sukar dibentuk kerana tidak responsif dan malas berfikir. Tiada keinginan untuk cemerlang. Gagal sekali, terus berhenti berusaha, seperti kemahuannya tidak sepenuh hati. Ada yang tidak dipersetujui, didiamkan sahaja.

Semua ini sukar untuk diukur dengan neraca agama sama ada ia Halal atau Haram, makruf atau mungkar. Sebaliknya jika diukur dengan neraca manusia, ada sesuatu yang tidak kena.

Sama ada kerana didikan di rumah, pendidikan di sekolah atau kehidupan di dalam masyarakat.

DUA YANG SATU, SATU YANG DUA

Iman dan Islam boleh jadi sama apabila disebut secara berasingan, tetapi makna kedua-duanya berbeza apabila disebut bersama-sama di dalam satu konteks. Misalnya di dalam surah al-Hujurat ayat 14, golongan Arab badwi itu berkata yang mereka telah beriman, tetapi kata-kata mereka itu disanggah dan dalam kondisi tersebut, cukup dahulu dengan kenyataan “kami baru Islam”, sebab iman belum benar-benar masuk ke hati.

Muslim dan mukmin itu adakala maknanya sama. Tetapi dalam sesetengah hal, makna setiap satunya berbeza. Demikian juga halnya dengan istilah Nabi dengan Rasul.

Demikianlah juga perihalnya dengan menjadi manusia dan menjadi muslim.

Biar pun manusiawi itu sendiri adalah Muslim dalam pandangan alam kita, hari ini kita ada keperluan untuk menyentuhnya secara berasingan kerana kini kita hidup di zaman berlakunya defisit kemanusiaan.

Anak-anak dibesarkan dalam keadaan dikongkong, kehendaknya tidak dipedulikan, perasaannya disakiti dan diabai tanpa peduli, diaibkan, ibu bapa sibuk, anak pun terlupa untuk  dipeluk, kemudian pendidikan semasa pula mahu pelajar menghafal, menekankan apa yang perlu difikir, bukannya bagaimana berfikir… semua ini menyebabkan anak-anak bengang, tertekan, murung, memberontak, lalu menjadi nakal.

Apa yang ibu bapa fikir, solusinya ialah anak-anak ini disuruh menghafal al-Quran dan belajar ilmu agama (fiqh, aqidah, sirah dan lain-lain) serta pakai pakaian yang Islamik seperti ketayap, serban, jubah dan tudung labuh. Sedangkan apa yang rosak di dalam diri anak-anak itu adalah emosi, mentaliti, self esteem … tetapi ubat yang diberi adalah ‘info agama’. Lebih malang, info agama diajar secara yang merosakkan lagi kemanusiaan pelajar-pelajar dengan pendekatan ganas, memalukan pelajar, tidak menghormatinya sebagai insan.

Dulu-dulu, hal ini tidaklah menjadi isu yang ketara sebab manusia normal tidak dehumanize manusia lain. Kini, ceritanya berbeza.

“Ajar agama, selesai masalah” menjadi solusi yang dominan, tanpa melihat komponen manusiawinya (kalau pun tidak dinamakan psikologi dan pedagogi).

Justeru, perlulah kita mempertimbangkan harapan kita kepada ‘ilmu agama’. Bahawa, ‘ilmu agama’ itu memerlukan manusia. Anak-anak kita memerlukan pendidikan yang memanusiakan mereka, sebelum mengislamkan mereka. Dan kegagalan anak-anak kita menjadi Muslim seperti yang kita mahu, mungkin bukan kerana kurangnya Islam, tetapi kerana kurangnya kemanusiaan mereka.

Bertugas di sekolah, saya tidak mahu sekolah kami dikategorikan sebagai sekolah tahfiz, sekolah agama atau sekolah akademik. Ia sekolah Metode Khalifah dan perjuangannya ialah memanfaatkan kemanusiaan manusia untuk memeluk agama. Tetapi bahasa ini bukan bahasa pasaran, dan tidak mudah untuk ibu bapa menghadam idea ini kerana secara spontannya, ibu bapa sudah tentu lebih khuatir dengan peperiksaan anak, belajar nanti universiti mana dan kemudian kerja apa.

Oleh yang demikian, titik harmoninya perlu dijayakan.

Manusia, sebelum Muslim!

ABAH.MY

Comments

comments

6 Replies to “Didik Jadi Manusia, Sebelum Jadi Muslim”

  1. Apa yang saya faham, ustaz cuba menyatakan bahawa untuk mendidik seseorang menjadi manusia yang bersiap sedia menerima agama dan mengamalkannya dalam hidup, 3 komponen syakhsiah perlu dijaga iaitu (1) rasional, (2) marah dan (3) syahwat.

    Melihat ketiga-tiga komponen syakhsiah diri yang dikemukakan Imam Birgivi saya teringat kepada sebuah buku berjudul Pemikiran Hamka karya Profesor Dr Sidek Baba. Dalam buku tersebut turut dinyatakan tentang 3 perkara iaitu akal, marah dan syahwat adalah komponen dalam membina akhlak dan adab.

    Secara peribadi, dalam pengalaman sebagai guru agama selama 5 tahun, saya melihat pendidikan Islam secara formal banyak memfokuskan kepada pembinaan akal, seperti menghafaz dan memahami. Manakala, komponen marah dan syahwat seperti dipinggirkan. Pendidikan banyak difokuskan kepada menjadikan murid pelajar pintar, tetapi kurang difokuskan menjadi pelajar beradab.

    Bagi saya sebenarnya, agama Islam itu sendiri sudah menyediakan ilmu bagi mendidik marah dan syahwat dalam diri manusia. Hanya sahaja, pembelajaran yang mendidik sifat marah dan syahwat dalam diri manusia itu seolah-olah terpinggir dalam pendidikan Islam secara formal hari ini. Pendidikan kita lebih banyak berbicara soal hukum, halal dan haram yang lebih kepada pembinaan akal atau rasional.

    Disebabkan itu, walaupun seseorang itu mempelajari agama semenjak di bangku sekolah sehingga ke universiti, agama itu kelihatannya sukar membentuk seseorang menjadi insan yang beragama dan berakhlak.

    Apakah ilmu yang mendidik marah dan syahwat dalam diri?

    Saya simpulkan ilmu mendidik marah dan syahwat dalam dua perkara, iaitu (1) raqaiq dan (2) fadhail al-a’mal. Lihat sahaja dalam silibus pendidikan Islam, ilmu raqaiq dan fadhail al-‘amal ini seperti dipinggirkan.

    Ilmu raqaiq tentang mendidik hati, nafsu dan syahwat lantas menerbitkan rasa takut yang menjadi pengawas kepada hawa nafsu. Ilmu fadhail al-a’mal, mendidik manusia tentang kelebihan atau ganjaran-ganjaran amal kebaikan, lantas menerbitkan rasa harap pada Allah ta’ala. Contoh ilmu fadhail al-a’mal, apa kelebihan solat 5 waktu? Apa kelebihan bersabar dan bersyukur? Apa kelebihan bersedeqah dan pelbagai lagi? Tidak sedikit daripada kita, mampu menjawab tentang hukum (halal, haram, wajib, makhruh, sunat) bagi sesuatu amalan, tetapi apabila ditanyakan tentang ganjaran tersendiri bagi sesuatu amalan ibadat, mereka menjadi ragu-ragu untuk menjawab. Apa yang mampu beri jawapan umum (berdosa, dapat pahala).

    Sekadar satu idea dan pandangan. Wallahu a’lam.

    1. Terima kasih tuan atas perkongsian yang menambah nilai kepada perbincangan. Memang benar, asalnya tiada keperluan untuk membicarakan soal manusia dan muslim sebagai dua subjek yang berasingan. Namun ada sesuatu yang berlaku di dalam kehidupan kita, hingga terjadi apa yang terjadi. Maka saya cuba bincangkan dalam bentuk sebegini agar aspek kemanusiaan dalam tarbiah itu dapat diketengahkan. Terima kasih sekali lagi.

      ABAH

    2. Salam Ustaz, Saya agak kurang setuju dengan tulisan ini.
      1. Deficit kemanusian telah berlaku sejak zaman lampau lagi, Cuma mungkin darjah deficitnya berbeza bagi setiap period kemanusian. Contohnya, zaman Nabi Lut dengan kaumnya yang telah rosak sifat fitrah kemanusian.
      2. Alasan yang diberikan untuk memanusiakan manusia dahulu sebelum muslim adalah kurang tepat kerana banyak memilih example atau contoh yang salah/buruk orang islam yang jauh dari cerminan sebenar cara hidup muslim.
      3. Kemungkinan orang awam tidak berapa faham dengan idea ini, dan kemungkinan saya juga tidak begitu faham secara keseluruhan idea ini, dan menjadi tanggungjawab ustaz untuk menerangkan secara keseluruhan idea secara detail agar tulisan ini tidak disalahfami yang membawa natijah yang buruk kepada orang ramai khususnya yang bergelar muslim.

      Harap ustaz dapat menegur saya jika saya keliru. terima kasih.

  2. Assalamualaikum,
    Jadikan ia “insan” yg memegang amanah “alastu birobbikum” . Surah Iqra 1-5 menerangkan apa itu insan. Insan itu hatinya sentiasa ingat Allah.

  3. Masyaallah TabarakAllah

    Artikel yang saya tunggu2 selama ini. Masyarakat kita terlalu taksub dengan magis (a quick fix) dan mengharapkan solusi luaran daripada dalaman. Mungkin kerana solusi luaran jauh lebih mudah.
    Banyak lagi yang perlu saya belajar walaupun sudah hampir dia dekat bergelar Ibu. Terima Kasih Ustaz dan semua yang memberi komen.
    jazakallahumma khayr kathira

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *