Archive for February 2015

Beri Ruang Anak Mengambil Risiko Kehidupan

10921670_623838917716182_5177867977393410656_o

Saya tidak sanggup membayangkan anak saya pada usia belasan tahun pun masih tidak lepas untuk menyeberang jalan. Terukkah saya jika saya katakan, saya lebih rela anak saya kurang bernasib baik lalu dilanggar kereta semasa menyeberang jalan, berbanding memegang tangan mereka menyeberang jalan dari kecil sampai remaja?

Risk taking adalah satu aspek kognitif yang mesti diizinkan berlaku.

Anak saya minat subjek agama tetapi kurang berminat subjek ‘akademik’. Saya dan isteri memujuknya agar mengimbangkan minat tersebut. Namun akhirnya terserahlah kepada dia. Pilihan si anak akan menatijahkan akibat dan dia mesti diizinkan menerima akibat tersebut. Apabila keluar keputusan peperiksaan PSRA, beliau dapat mumtaz. Sesuailah dengan minatnya. Semasa keluarga bercuti pun masih menggendong buku JAIS, tanpa kami menekan jauh sekali memaksanya.

Seronok rupanya dapat mumtaz.

Baru terfikir, teringin mendapat ‘mumtaz’ yang sama di dalam UPSR.

Apabila keluar keputusan UPSR, hasilnya sesuai dengan usaha yang ditunjukkan sepanjang tahun. Anak kami tidak dapat 5A. Kami sudah pun mengucapkan tahniah kepada beliau kerana berjaya menamatkan pengajian sekolah rendah, dan menjadi seorang pelajar, juga abang kepada adik-adik, yang matang. Dapat anugerah ‘The Thinker Award’ semasa Graduation Day.

“Sedih ke tak dapat 5A?” ummi bertanya kepadanya.

“Sedih juga” jawab beliau, pendek.

“Boleh bezakan perasaan semasa dapat keputusan UPSR dan PSRA?” tanya ummi lagi.

“Faham” jawabnya perlahan.

Perasaan suka dan duka itu tidak boleh diajar. Ia hanya boleh dirasa. Seperti manisnya gula dan masinnya garam. Dan setelah merasa nikmatnya manis dan peritnya pahit, moga pengalaman itu mematangkan dirinya.

Sudah-sudahlah mengawal si anak.

Kerja sekolahnya kita buatkan. Rambutnya kita sikatkan. Baju rayanya kita tentukan. Mahu sekolah mana kita putuskan. Streaming aliran apa, kita pilihkan. Keputusan sambung belajar bidang apa di universiti kita buatkan. Nanti melarat sampai jodoh kita tentukan, sudah beranak pinak pun cuti sekolah mahu berkelah di mana, kita masih masuk campur juga?

Akibatnya karakter anak jadi lembik.

Tidak boleh membuat keputusan.

Tidak berani mengambil risiko kesilapan, kesalahan malah kemalangan.

Jika perempuan, bolehlah suami nanti lindungkan.

Jika lelaki, mahu jadi suami dan bapa yang bagaimana nanti?

Saya bukakan pilihan untuk anak saya buat keputusan mahu sambung sekolah mana. Saya bawa dia ke KMSS, sekolah yang saya design sebagai academic director dengan idea yang saya fikir sebagai idea terbaik. Dia suka dengan konsep pembelajaran di KMSS. Di sekolah itu juga bekas kawan-kawannya di KMS dulu ada yang bakal belajar bersama. Tetapi katanya, ada dua kekurangan KMSS yang menyebabkan dirinya mungkin tidak memilih KMSS. Pertama, sekolah berkenaan terlalu dekat dengan rumah. Kurang adventurous, katanya. Kedua, hari-hari dia akan jumpa saya, bapanya. Ia seperti tiada perubahan yang signifikan untuk hidupnya. Dia mahukan cabaran. Mahukan ruang sendiri untuk self actualization.

Saya hormati keputusan anak saya.

Keputusan budak berumur 12 tahun, yang saya didik agar matang berfikir semenjak kecil.

Maka sekarang dia bersekolah di sekolah yang jauh dari rumah kami. Sekolah di tengah bendang. Sekolah yang memberinya risiko kakinya berkudis digigit ulat Charlie. Tetapi di sekolah itu juga dia menghafal al-Quran, mengukuhkan bahasa Arab dan bahasa Inggerisnya, dan memperbaiki kebolehannya berfikir.

Sebulan pertama, sekolah syaratkan ibu bapa dan anak-anak tidak boleh berhubung. Anak saya bersetuju tanpa bertangguh. Saya bersetuju dan isteri pun bersetuju. Justeru, bermula 1 Januari 2015, kami lepaskan anak kami memulakan perjalanannya sebagai anak muda. Saya sudah bekalkan dengan nasihat. Malah saya bincangkan lirik lagu “Anak Dagang” nyanyian Sudirman kepadanya sehari dua sebelum ke sekolah.

Kami berdoa dan bertawakkal kepada Allah untuk keselamatan dan kejayaannya.

Sekolah bawa anak kami mandi air terjun, panjat gunung, berlari merentas desa di batasan sawah, menunggang kuda, bangun awal pagi, kami tengok dari jauh melalui kemaskini Facebook sekolah sekali sekala. Ada masanya bergenang air mata rindukan anak. Tetapi melihat anak khusyuk mengikuti semua program yang sekolah aturkan, kami bahagia dan berlapang dada.

Saya tidak akan campur urusan sekolah. Saya tidak akan tanya, kenapa bawa ke air terjun, tidak bahayakah, sudah diperiksa selamat daripada gejala kencing tikuskah? Semua itu saya tidak tanya dan tidak akan tanya.

Anak kami berpenyakit asthma. Selain semput bernafas, kulitnya juga sensitif dan mudah terkena eczema. Maka kami ajar dia do’s and don’ts sebagai pesakit asthma. Inhaler kami bekalkan. Kami ajarkan cara guna, dan kena patuh penggunaannya. Serangan asthma yang berulang kali adalah kerana poor control. Tak jaga diri. Tak jaga medication sebagaimana yang sepatutnya.

Justeru selama sebulan dia bersekolah jauh dari kami, dia okay.

Kami pun okay.

Apabila kami membuat keputusan mengizinkan anak kami belajar di asrama, ia bermaksud, kami mengambil risiko dan mengizinkan anak mengambil risiko. Saya adalah seorang bapa yang realistik. Saya yakin dengan integriti sekolah mentadbir, saya juga yakin dengan kebolehan sekolah menjaga keselamatan pelajarnya, dan saya sentiasa memaafkan kesilapan dan kekurangan sekolah, andai ada kesilapan dan kekurangan. Pendapat saya, salurannya adalah pelalui PIBG (PTA). Saya tidak akan sama sekali mengajar anak saya tidak menghormati sekolah dan guru.

Dan dalam tawakkal hidup berjauhan ini, saya realistik andai pertemuan terakhir saya dengan anak setiap kali berpisah, menjadi pertemuan terakhir kami, kerana saya, dia dan kita semua, sentiasa mati di antara dua pertemuan dan perpisahan.

Jika tidak sanggup mengambil risiko, simpanlah anak di bawah ketiak dan hasilkan seorang lelaki lembik atau perempuan selekeh yang akan hanya menyusahkan bakal isteri dan bakal suaminya suatu hari nanti, jauh sekalilah hendak menjadi pemimpin ummah!

ABAH.MY

Pendidikan: Antara KMSS dan SMITA

(null)

Saya bertugas di #KMSSEDUMY dan anak saya bersekolah di #SMITAPERAK . Saya tidak dapat lari daripada membandingkan kedua-dua sekolah yang saya sayangi ini.

Dari sudut kelebihan, saya gembira dengan SMITA yang menjadikan lima bulan pertama ini hampir sifar akademik, sebaliknya diisi dengan pelbagai aktiviti outdoor, dan pembelajaran tertumpu kepada bahasa Inggeris dan Arab, critical thinking dan hafazan sahaja. Ia membantu untuk RESET pelajarnya daripada dunia ‘moden’ terutamanya komitmen kepada gajet yang telah menyebabkan learning difficulties kesan perubahan otak selama 12 tahun duduk di rumah. Saya boleh nampak dengan jelas kesan positifnya kepada anak.

Walaupun SMITA masih setahun jagung, ia semakin menonjol dengan pencapaian-pencapaian yang menunjukkan kebolehan berbahasa, seperti pidato. Ini sangat penting kerana penggunaan peranti berskrin seringkas televisyen, hinggalah kepada komputer dan tablet, menyebabkan kanak-kanak mengalami kesukaran menghubungkan perkataan bagi membina makna-makna yang lebih besar. Justeru proses membaca, membuat esei dan berucap (memberi tazkirah) menjadi aktiviti yang penuh penyeksaan. Singgah sekejap-sekejap di SMITA, sesiapa sahaja akan terus dapat mengesan yang ramai pelajar di sana manis mulut, rajin menyapa, dan proaktif dalam memulakan perbualan. Mereka bersungguh mengamalkan 3S iaitu Salam, Senyum dan Sapa.

Namun proses pembelajaran SMITA belum bermula secara rasmi. Saya tidak mempunyai maklumat tentang pendekatan yang dipakai dalam pembelajaran di sana dan saya mendoakan yang positif-positif sahaja. Keberadaan SMITA di tengah sawah bendang tentu sahaja menjadi kelebihan besar yang saya syukuri untuk anak sendiri, dan saya cemburu untuk anak-anak murid kami di KMSS yang masih di blok bangunan kedai. Tetapi keberadaannya di tengah bendang juga menjadi cabaran. Anak saya terkena racun serangga ‘Charlie’ hingga luka-luka kakinya, dan dia tidak tahu ia merupakan kesan serangga tersebut. Beliau beranggapan ia hanya gatal biasa sebab setahu dia, kawannya yang terkena serangan serangga tersebut lukanya sampai bernanah-nanah. Sedangkan luka beliau biasa-biasa sahaja. Nampaknya, selain saya membantu anak dengan pengetahuan dan skil kepimpinan, Ummi perlu melatih anak kami dengan asas perubatan untuk self diagnosis yang mudah.

Di KMSS, saya rasa sangat gembira dengan transformasi kurikulum yang sudah mula menampakkan kesan positifnya. Ia mungkin tidak disedari oleh pelajar, namun kami sedang reconstruct otak mereka agar mereka mendapat kembali keupayaan berfikir dan memahami, agar ada sinar untuk mereka menjadi Ulul Albāb. Masalah-masalah menakutkan yang saya temui semua berprogram di sekolah-sekolah cemerlang, saya kaji punca-puncanya, malah saya keluarkan modal sendiri untuk menyertai program pensijilan perguruan di Kanada untuk memeriksa ilmu pengetahuan saya tentang pendidikan, khususnya berkait dengan interaksi Islam dengan WHAT (kurikulum), WHO (kognitif murid), HOW (pedagogi guru), WHERE (falsafah dan konsep pendidikan) dan WHERE (jenis sekolah).

Semuanya saya tumpahkan dengan sepenuh jiwa dan raga untuk merombak KMSS dan memulakan 2015 dengan ‘brand new school’ yang segar bugar.

Bahagian ini adalah bahagian yang saya cemburu kerana saya tidak / belum dapat memberikannya kepada anak sendiri. Namun sudah tentulah, KMSS yang masih berada di bangunan kedai, menyebabkan saya sesak dada. Kalau boleh saya mahu menjerit-menjerit meminta bantuan, berilah kami rezeki agar bangunan baru kampus tetap sekolah boleh bermula esok dan Bandar Baru Salak Tinggi Business Park dengan padang di tengah bangunan terbabit, terus menjadi kampus kami. Tetapi saya akur jeritan itu berharga jutaan ringgit. Maka, apa yang termampu sekolah usahakan pada masa ini ialah ada petang-petang dalam setiap minggu, pelajar dibawa outing ke padang dan taman yang berdekatan, biar pun sekadar menumpang kemudahan orang lain.

Sejujurnya, apabila berfikir tentang pendidikan, saya rasa saya ada 94 orang anak. Seorang di SMITA, dua orang di sebuah sekolah di Bangi, seorang lagi di sebuah tadika di Bandar Seri Putra dan 90 orang lagi di KMSS. Setiap saat saya memikirkannya dan kini saya sedang menderita untuk menyiapkan tesis sarjana saya di bidang sejarah, yang memerlukan saya berhenti berfikir tentang sekolah dan pendidikan.

Rumit sungguh keadaan semasa ini.

ABAH.MY