Ketika ABAH 40 Dan ANAK 15

anak-anak-kita

Anak-anak kita (Gambar Hiasan)

Jika kita berkahwin sekitar umur pertengahan 20’an dan rezekinya dikurniakan cahaya mata terus, maka anak-anak kita akan menempuh usia akil baligh dan remaja (‘adolescence age’) semasa umur kita sekitar 40 tahun. Semasa berumur 40 tahun ini, para ABAH dan ibu, mereka sendiri juga sedang bertarung dengan ‘mid life crisis’ yang menjadikan kita seorang ABAH yang sangat sensitif dan mudah tersinggung.

Pada masa yang sama, si anak pula pada umur awal belasan tahun biasanya jadi ‘heartless’, asyik nak mencabar orang dan buat kita terasa. “Sampai hati kau buat ABAH macam ini, ya?” adalah monolog-monolog yang sering melintasi jiwa ABAH di usia 40.

Pada usia itu, penting sekali ABAH bertenang dan sentiasa memaafkan anak-anak. Maafkan mereka, supaya kita terus ‘connected’ dengan mereka.

Pujuk hati kita dengan meminta ampun kepada Allah andai kita sudah terlupa kepada kelakuan kita kepada ABAH sendiri semasa berusia remaja. Menginsafi kekurangan diri, moga datang kekuatan untuk lebih memahami mengapa anak yang di suatu ketika gelak tawa dan kelip matanya semua berisi kemanisan, hari ini seperti mencari-cari sebab untuk sentiasa menyakitkan hatimu. Usia 40 itu adalah usia menginsafi erti sebuah kehidupan.

46_15

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.

Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata:

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”. [Al-Ahqāf 46: 15]

BUAT ANAK,

Dan anak-anak pula, oleh kerana sudah mengerti bahasa dan boleh memahami nasihat ini, janganlah jadikan usia remaja itu sebagai alasan untuk berperangai buruk. Perangai remaja ini memang boleh menyebabkan ABAH ‘terbunuh’ dengan serangan jantung. Tidak ada sesiapa yang akan cakap kamu bunuh ABAH kamu, tapi kamu akan dihantui rasa bersalah apabila kamu sedar satu hari nanti yang kamu sangat jengkel (‘jerk‘) sampai ABAH kamu mati merajuk hati.

Satu hari nanti…
Kau kan tahu nilainya cintaku…

ABAH sentiasa mendoakan kebaikan buatmu, nak.

ABAH.MY

Apabila Anak Bukan Lagi Kanak-kanak

bosan

“Eh, comelnya. Geram betul tengok baby ini!” kata Nina.

“Tu la. Rasa nak picit-picit. Ceria bukan main!” balas Azli, si suami.

“Masa umur macam inilah yang sweet. Sentiasa bermain. Tak banyak ragam” ujar Nina.

Tangannya pantas menimang-nimang Aiman. Anak jirannya itu baru mencecah usia setahun. Gemar ketawa apabila diagah.

“Tapi… ” Azli menyambung.

Tidak bersambung.

Kata-katanya terhenti.

Nina juga terdiam. Seperti faham apa yang hendak Azli nyatakan.

Semasa mereka baru dikurniakan seorang cahaya mata, terasa dunia ini bagai Syurga. Belum pun habis keindahan suasana berbulan madu, rumahtangga yang baru dibina bertambah serinya dengan kehadiran cahaya mata mereka. Sanak saudara dan rakan-rakan berkerumun. Semua orang menumpang gembira.

Semua itu kenangan.

Apabila mereka kini menjadi ibu dan bapa kepada lima orang anak, suasana hidup banyak berubah.

Anak-anak itu semasa bayi memang comel. Tetapi apabila masuk ke usia kanak-kanak, mereka sentiasa menjerit, berkejar ke sana sini, merosakkan pelbagai barangan elektrik di rumah, bergaduh dan menjadikan suasana aman di rumah sendiri seperti sesuatu yang mustahil. Penat bekerja, balik ke rumah penatnya bersambung dengan kerenah anak-anak, makhluk yang ‘pernah’ comel itu!

Rupa-rupanya, sukakan kanak-kanak tidak sama dengan sukakan anak-anak.

Sukakan kanak-kanak, kita suka bahagian yang menyukakan sahaja. Bahagian comelnya, bahagian suka bermainnya, bahagian suka diagah, bahagian pandai bergaya di hadapan kamera. Semuanya indah dan menjadi kenangan.

Tetapi kita tidak boleh menjadi ibu bapa yang baik jika hanya suka dengan kanak-kanak. Kita kena suka dengan anak-anak.

Anak-anak itu, sukanya tidak bersyarat. Suka semasa mereka comel, suka semasa mereka buat perangai. Suka semasa mereka tidak banyak meragam, suka semasa mereka tidak habis-habis membuat ragam. Semasa menjadi kebanggaan, semasa mencetus keaiban. Semasa menghiburkan, semasa memeningkan.

Kanak-kanak hanya beberapa tahun di peringkat usia.

Anak-anak, semenjak lahir, selagi hayat dikandung badan.

Semasa mereka comel, mereka anak-anak.

Semasa mereka kanak-kanak, mereka anak-anak.

Semasa mereka remaja, mereka anak-anak.

Semasa mereka dewasa, mereka anak-anak.

Semasa mereka menjadi ibu bapa kenapa anak-anak pun, mereka masih anak-anak.

Sebab itu sangat penting untuk ibu bapa mematangkan diri, seiringan dengan proses kematangan kanak-kanak yang anak itu meniti dewasa. Cabaran semasa mereka kecil, berbeza dengan cabaran semasa mereka dewasa. Baik atau buruk, mereka tetap anak-anak. Mengasihi anak-anak semasa mereka menghiburkan kita, itu mudah. Namun tetap mengasihi anak-anak semasa mereka terjebak dalam kesilapan hidup yang mengundang keaiban dan kesusahan, mungkin ada ibu bapa yang kecundang.

Justeru, jangan berhenti berdoa.

Anak-anak bukan selamanya kanak-kanak.

Mereka akan dewasa.

Mereka akan menguji kita, sebagai ujian Allah untuk diri kita juga.

Mereka secara fitrahnya adalah penyejuk hati. Namun kepanasan tekanan hidup, hiruk pikuk gelagat, mesti disembuhkan dengan doa penyejuk hati. Seperti ungkapan al-Quran:

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. [Al-Furqan 25: 74]

Sampai harinya, hiruk pikuk itulah kerinduan kita.

Semasa lantai rumah sunyi daripada bunyi anak-anak berlari.

Kecuali sesekala, masa memberi peluang, mereka pulang.