Archive for December 2014

Facebook: Antara Kamu dan E-Kamu

fb-minor

Ada sebab ABAH tidak benarkan kamu guna Facebook dan media sosial lain sebelum umur kamu 13 tahun. Undang-undang pun begitu. Kawan-kawan kamu yang lain pakai, itu bukan alasan. Kamu mati nanti, kamu ke kuburan dan kawan kamu teruskan kehidupan. Jangan biasakan diri menjadikan kawan sebagai alasan.

Apabila kamu berada di depan skrin, kamu ialah kamu dan di sebalik skrin ialah e-kamu. Emak kamu dulu beranakkan kamu. Manakala e-kamu, kamu yang cipta. Kamu yang emak kamu beranakkan dahulu, sekarang ini umur dia 12 tahun. Manakala e-kamu yang kamu nak beranakkan ia di Facebook dan internet akan menjadi bayi.

Kamu ada usia bayi, kanak-kanak, akil baligh, remaja dan dewasa.

E-kamu juga ada usia begitu.

E-kamu mesti dikendalikan oleh kamu yang matang. Kalau e-kamu itu bayi, dikendalikan oleh kamu yang belum cukup matang, banyak masalah yang timbul nanti.

Zaman ini, kita sudah pandai bercakap tentang hak, sebelum kita kenal peranan dan tanggungjawab. Apabila kita bercakap tentang hak tanpa mengenal peranan dan tanggungjawab, kita akan membuta tuli menuntut hak, termasuk hak ke atas diri sendiri.

ABAH minta kamu beri password kamu kepada ABAH pun, kamu sudah bermasam muka. Tetapi kamu sendiri selalu membiarkan akaun kamu tidak log off, menunjukkan kamu culas terhadap apa yang kamu anggap sebagai hak kamu.

Dan kerana kamu tidak log off, ABAH nampak pada suatu hari ahli kumpulan Facebook kawan-kawan kamu pos gambar lucah. ABAH terkejut, tetapi ABAH diam dan mahu tengok bagaimana kamu dan kawan-kawan kamu bertindak. Kebanyakan kamu tidak kenal siapa yang pos gambar lucah itu, tidak tahu bagaimana dia berada dalam kumpulan kamu dan kamu semua tidak dapat bertindak apa-apa bilamana beliau bertindak biadab memaki hamun kamu semua.

ABAH mahu tanya, kamu rasa semasa kawan-kawan kamu nampak gambar lucah itu mereka buat apa? Dan kamu sendiri, kamu buat apa?

Itu baru satu.

ABAH silap izinkan kamu sebelum ini. Dan kini ABAH tarik semula keizinan itu, terutamanya untuk adik-adik kamu.

Sabar, ya nak.

kid-computer

Seperkara lagi, ABAH tidak mahu kamu menjadi sebahagian daripada pengguna Facebook yang sangat biadab. Hingga banjir dan segala bencana yang menimpa negara kita sepanjang 2014 ini pun tidak mampu menginsafkan mereka.

Facebook itu kuasa. Dan orang kita nampaknya tak boleh tadbir kuasa dengan baik walaupun sekadar satu akaun peribadi. Kita mudah rasa sangat berkuasa, hanya kerana kita bebas menulis apa sahaja. Tambah-tambah yang berselindung di sebalik nama samaran. Dan tidak seperti lima enam tahu dulu, kini dengan nama sebenar pun pengguna Facebook kita sudah tidak segan silu memaki hamun.

ABAH tidak dapat bayangkan yang kamu umur belasan atau 20’an, kamu bahasakan ustaz-ustaz yang sebaya ABAH tu sebagai ‘BRO’ sebab kamu rasa pendapat kamu lagi cool daripada depa. Cakap dengan kurang ajar, yang kalau ABAH tahu kamu nak jadi begitu, baik ABAH pijak-pijak sahaja kamu masa kecil dulu.

Masa kamu kecil, kamu yang comel itu marah kalau ABAH sebut perkataan ‘bodoh’. Izinkan ABAH hari ini berkata, bahawa Facebook menyebabkan ramai orang bodoh dan bangga dengan kebodohannya.

Anakku,

ABAH bukan Imam Ghazali yang tinggi falsafahnya semasa berpesan kepada anak di dalam Ayyuhal Walad. ABAH manusia biasa. ABAH cuma nak kamu jadi manusia yang berbudi bahasa. Jika tidak banyak menyumbang kebaikan kepada orang lain pun, kamu tidak menambah kejahatan sedia ada.

ABAH kena pastikan, emak kamu 13 tahun lalu, melahirkan tentera Muhammad SAW. Bukan tentera Dajjal.

ABAH

 

Anak ABAH di Rantau Orang

kelanaanakabah

Tinggal seminggu sebelum anak ABAH merantau ke tempat orang. Buat pertama kali, ke luar rumah berdikari, sakit demam, keringat dan air mata, perlu teguh mengelap mengusap, memujuk dan meneruskan hidup.

Anak ABAH yang sulung ini matang fikirnya. Kerana fikirnya begitu, sering juga terjebak dalam rasa tidak senang hati sesetengah orang. Ada yang merungut dengan ABAH sebab anak sulung ABAH ini semasa berusia 11 tahun, beliau membuat pengumuman agar murid-murid yang sudah bersunat solat di depan manakala yang belum bersunat solat di belakang. Bagi ABAH, itu kepimpinan. Bagi sesetengah orang, itu tidak sopan dan menunjuk pandai.

smita-perak

Foto ihsan Facebook SMITA

Sebab itu ABAH yakin, keputusan anak ABAH untuk bersekolah jauh di tengah bendang sana, adalah keputusan yang baik. Biar pun ABAH sendiri menguruskan sekolah lain yang hampir serupa, 15 minit perjalanan dari rumah.

Anak ABAH memang kena berdagang di negeri orang. Sunnah menuntut ilmu.

Negeri orang pun, bukanlah orang lain yang sesungguhnya lain.

Di negeri halaman ayah bondanya di negeri Perak.

Biar anak ABAH dapat santun budi cara ibu bapanya dibesarkan, yang ibu bapanya susah hendak wariskan dalam kehidupan kosmopolitan di ibu kota. Orang kota, bijak fikirnya, pandai hujahnya, tapi santun budi adakalanya pudar di celah keras hutan batu dan besi.

Sebab itu ABAH minta anak ABAH dengar nasihat ini. Abah boleh menyebutnya dalam bahasa aksiologi. Tetapi ABAH mahu anak ABAH menikmati mesej itu secara estetik. Dengar pesan orang dulu-dulu di dalam lagu Anak Dagang yang dulunya dinyanyikan oleh Kamariah Noor, tetapi dipopularkan semula oleh Sudirman.

ANAK DAGANG

Anak dagang di rantau orang
Biar pandai membawa diri

Jaga tutur kata
Jaga cermat peribahasa
Selalu berbudi tinggi

Biar merendah
Kata orang jangan dibantah
Fikir dahulu sebelum berkata

Anak dagang negeri orang
Jika selalu meninggikan diri

Sombong dan iri hati
Mementingkan kemahuan sendiri
Akhirnya mendapat keji

Peribahasa … manis jangan terus ditelan
Pahit terus jangan dibuang

Banyak yang anak ABAH kurang faham. Bahasa Melayunya tidak ke situ. Pembelajaran di sekolah kurang nilai estetik, menafsir seni dan keindahan dalam bahasa kiasan juga perbandingan.

ABAH cuba huraikan satu-satu.

Agar kelana anak ABAH nanti ada berbekal.

Seperti mana orang dulu berpesan-pesan.

Beliau mahu anaknya jadi penuntut ilmu yang cintakan ilmu, bukan sekadar mengejar ukuran-ukuran duniawi.

Anakku,

Apabila kamu berada di tempat baru, kamu kena pandai membawa diri, yakni pandai menyesuaikan diri sebab manusia itu walaupun rambutnya sama hitam, hatinya lain-lain. Ada sesetengah benda biasa bagi kita, tidak biasa bagi orang lain, sesuai dengan orang lain, tidak kena dengan cara kita.

Sekolah kamu nanti sekolah yang mementingkan bahasa. Apabila bahasa yang dipentingkan, tingginya nilai di dalam bahasa itu bukan sekadar pada tata aturannya. Sebaliknya bahasa berganding dengan budi. Orang pun menyebutnya budi bahasa. Maka berbahasalah dengan baik. Jika setuju ada caranya. Jika tidak setuju pun ada caranya. Dengan orang tua kita hormati, dengan orang muda kita santuni.

Kata orang jangan dibantah. Engkau mungkin tidak membantah dengan berkata, tetapi ingatkan dirimu agar jangan gemar membantah walaupun di dalam diam. Dengar dahulu, fikir dan timbang. Yang benar engkau terima walaupun pahit. Yang salah, engkau tolak, namun jangan membelakangkan budi.

Semasa di negeri orang, kamu kena belajar membawa diri, tidak mementingkan diri sendiri. Jika di rumah, tangan kamu cepat mencapai peha ayam, kamu kenyang kerana ABAH maafkan. Tetapi di tempat orang, kalau kamu keji dalam berkongsi, orang lain kamu tidak peduli, perutmu kenyang tetapi jiwamu langgang. Denganmu orang tidak senang, dalam diam engkau mereka tinggalkan.

Benar sungguh kata peribahasa, bahawa yang kamu suka itu, yang manis-manis, belum tentu baik untuk kamu. Yang kamu tidak suka, yang kamu elak, belum tentu ia tidak baik untuk kamu. Maka yang manis, jangan terus ditelan. Yang pahit, jangan terus dibuang. Ambil masa melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat, seperti pahit ubat yang menyembuhkan, dan manis gula yang mengundang derita.

 

image

Dalam ketawa kamu dan ABAH semasa berkereta pulang dari Salak Tinggi ke rumah, anak ABAH tidak sedar ada air mata orang tua berkaca memandang depan. Memujuk hati untuk redha dan melepaskan. ABAH pernah berada di kedudukan kamu, ABAH tahu ertinya langkah kamu yang kali ini.

Namun ABAH yakin, anak teruna yang dilepaskan, akan selalu ingin pulang. Anak teruna yang ditambat, siang malamnya melepaskan diri untuk menerobos pergi. Buat apa kami simpan pemuda yang jiwanya terpenjara. Lebih baik kami nantikan kepulangan anak datang yang seluhur hatinya apabila pulang. Moga engkau lebih selalu ingin pulang, kepada kami, atau kepada ummah yang memerlukanmu.

Engkau amanah kami daripada-Nya. Siapa kami untuk memindah milikmu ke dakapan kami yang sementara ini.

Selamat jalan anakanda. 13 tahun yang lalu kami namakan kamu Muhammad Saiful Islam dengan penuh kesedaran.

Berkelanalah kamu.

Pada mencari makna dirimu.

Kami doakan kamu selalu.

ABAH.MY

Sunnah Berbual Dalam Pendidikan Anak-anak

20141222-abah

“Saya berterima kasih atas pembentangan panelis hari ini. Soalan saya kepada Ustaz Hasrizal, apakah saranan ustaz supaya saya boleh kongsikan benda-benda yang saya belajar hari ini, kepada anak-anak. Ada tips tertentu?” tanya seorang peserta.

Seminar Permata al-Quran anjuran Akademi Sinergi Ikhlas dan Karangkraf sudah sampai ke penghujung program. Saya bersama dengan Ustaz Fawwaz Fadzil duduk di pentas untuk sesi soal jawab bersama. Saya membentang kupasan Surah al-Fatihah. Ustaz Mohd Rusydi al-Jauhari pula bersama Ayat al-Kursi. Manakala Ustaz Fawwaz Fadzil mengupas tentang surah al-Ikhlas.

Saya tidak mempunyai apa-apa tips.

Sekarang atau sebelumnya.

Apa yang ada hanyalah beberapa percubaan, kadangkala menjadi, kadangkala tidak menjadi.

Selalunya, yang menjadi itu adalah yang dilakukan secara spontan, tidak dirancang-rancang.

Namanya ialah perbualan.

Jika kita membiasakan diri berbual dengan anak-anak, perbualan dan keselesaan melakukannya membolehkan banyak perkara dapat dikongsi dan disampaikan. Berbual dengan anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah. Tambah-tambah untuk ABAH seperti saya. Selain anak balik sekolah dengan bau masam yang menghilangkan mood bersembang, di usia sebegini, kepala orang lelaki selalunya berat dan sarat dengan pelbagai topik.

Berbual dengan anak-anak adalah perkara terakhir yang seorang bapa mahu lakukan.

Tetapi jika diikut keselesaan diri, kita akan ditimpa penyesalan yang sukar mencari jalan u-turn. Apabila anak kekok bersembang dengan kita sebagaimana kita juga kekok bersembang dengan mereka, anak-anak menggantikan teman sembang mereka daripada kita kepada orang lain yang lebih mesra dengan mereka.

Tanpa mood bersembang, mesej-mesej yang ingin bapa sampaikan, hanya dapat disampaikan dalam bentuk leteran, bukan lagi perkongsian yang lebih positif dan mesra.

Lawanlah rasa berat mulut dan berat hati untuk berbual itu.

Shuaib boleh berbual dengan anak perempuannya, Ya’qub juga begitu. Demikian juga perbualan Ibrahim dengan anaknya Ismail, berbual dan bertukar pendapat adalah sunnah tarbiatul awlad zaman berzaman.

Bapa perlu menyediakan mood yang selesa berbual dengan anak, demikian juga ibu, supaya menjelang perkahwinan mereka, apakah nasihat seorang ibu dan bapa kepada anak mereka tentang adab sopan, kaifiyat, dan larangan ‘malam pertama’, boleh disampaikan dengan baik.

ABAH
Bandar Seri Putra