Archive for November 2014

Anak ABAH Jangan Biarkan Diri Diperbodohkan

20141127-054025

“Kamu main bola sampai kotor baju. Kamu tahu tak asal usul permainan bolasepak ini?” tanya ustazah.

Kami menggelengkan kepala.

“Asal permainan bolasepak ini ialah apabila orang jahat bunuh cucu Nabi. Kemudian kepala cucu Nabi tu, disepak-sepak. Maka setiap kali kamu main bola, macam kamu sepak kepala cucu Nabi!” kata ustazah.

ABAH tercengang.

Dulu, ABAH memang tidak begitu minat bermain bola semasa kecil. Tidak seperti Pak Long, Pak Ngah, Pak Lang dan Pak Uda. ABAH memang menunggu alasan untuk tidak bermain bola. Masa sekolah, ABAH lebih suka bermain hoki.

Dan kisah ustazah itu mengejutkan ABAH.

Kisahnya bersahaja. Kisah yang masyhur di lisan kebanyakan. ABAH pula masa itu masih anak kecil. Belum ada upaya bertanya. Hanya terakam sebuah tanda tanya.

Darjah 4, tahun 1985, ABAH ‘bersara’ daripada dunia bola. Secara rasminya menjadi kaki bangku.

Sepenuhnya.

MENYOKONG GERAK HATI

Antara memori awal ABAH pada perbuatan mempersoalkan, ialah ketika di Darjah 6.

Di sekolah itu.

Di dalam subjek Sejarah, buku teks ketika itu menyebut Sultan Abdul Hamid II sebagai pemerintah diktator, memerintah dengan kuku besi dan menyebabkan Daulah Uthmaniah menjadi mundur. Turki telah diselamatkan oleh Mustafa Kemal Ataturk, Bapa Pembangunan yang kemudiannya menjadi Presiden pertama Republik Turki.

Keterangan itu disertakan bersamanya gambar mereka berdua.

20141127-bukutekssejarah

ABAH baru Darjah 6. Tetapi Darjah 6 sudah tiada angin peperiksaan. Ia umur sekolah mengajar ABAH dan kawan-kawan soal kepimpinan. Agaknya kerana itu, walaupun baru berusia 12 tahun, ABAH sudah boleh rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Yang ‘jahat’, gambarnya nampak macam orang baik. Yang ‘baik’, gambarnya nampak macam orang jahat.

Inilah soalan antidot pembodohan terawal yang mampu ABAH ingat. ABAH bertanyakan hal ini kepada guru sejarah, “betulkah yang ini baik, yang ini jahat?”

Guru ABAH juga bijak dan mulia memandaikan anak muridnya. Dalam keterbatasan maklumat ketika itu (1987), cikgu dengan rendah diri menjawab, “saya hanya mampu mengajar apa yang ada di dalam buku teks sekolah”

Beliau tidak marahkan ABAH. Beliau tidak menyuruh ABAH diam. Beliau tidak mengarahkan ABAH dengar. Beliau meraikan pertanyaan dan ‘mengaku’ tidak tahu. Ia tidak menjawab soalan anak murid, tetapi ia menyelamatkan anak murid daripada pembodohan.

Tandatanya ABAH itu tersemat di dalam ingatan.

KECAMUKAN MINDA

Darjah 6, keputusan peperiksaan pertengahan tahun ABAH jatuh daripada kedudukan biasa. Masa itu ABAH mendapat tempat ke-4. Kali pertama dalam alam persekolahan rendah.

“Cikgu, Hasrizal menangis!” kata Lee Kok Meng rakan di sebelah saya.

Cikgu Zakaria datang memujuk.

Ketua Pengawas menangis macam budak kecil.

“Kenapa kamu menangis?” tanya cikgu.

ABAH tidak dapat menjawab. ABAH menangis bukan semata-mata kerana dapat nombor 4, tetapi ia kali pertama, ABAH mengalami kecamukan minda. Banyak perkara yang masa itu ABAH tidak setuju. ABAH tidak mendapat jawapan.

 

 ۖ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

“Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil” [Al-Baqarah 2: 67]

Untuk kisah Sultan Abdul Hamid II dan Ataturk, ABAH menemui jawapannya pada tahun 1995, apabila buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke Turki untuk mencari jawapan kepada sebuah KEBENARAN.

Pembodohan tidak mengganggu proses mendapat A di dalam peperiksaan. Pembodohan tidak akan bertanda dengan gred D atau E. Pembodohan ialah kebolehan mendapat A di dalam peperiksaan, tetapi masih gagal mencari, memahami dan mempertahankan KEBENARAN.

D, E dan F dalam kehidupan.

Hentikan pembodohan.

Ia membinasakan.

Ingatlah pesan ABAH ini.

ABAH.MY

UPSR: Teruskan Perjalanan Sebagai Hamba Allah Yang Berusaha

20141127-054025

Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah 1987 di SRK Raja di Hilir Ekram, Ipoh

Pada tahun 1986, ABAH mendapat 5A di dalam keputusan Peperiksaan Penilaian Darjah 5 (sebelum ditukar kepada UPSR).

Pada tahun 1996, sudah tiada siapa kisah dengan keputusan yang membanggakan itu.

Pada tahun 2006, 5A itu sudah hampir luput dari ingatan.

Tetapi yang kekal hingga ke tahun 2014 ialah pengalaman belajar, berusaha, keyakinan diri, doa, dan tawakkal. Semua itu berguna pada tahun 2014 hingga ke akhir hayat.

Maka dengan keluarnya keputusan peperiksaan UPSR 2014 hari ini yang juga hari keputusan peperiksaan UPSR anakanda Saiful Islam, ABAH dan harapnya para ibu bapa dan guru juga, raikanlah apa yang maknanya kekal dalam kehidupan anak-anak kita. Puji usaha, doa dan keyakinan diri mereka, lebih banyak daripada keputusan yang mereka perolehi.

Bagi ABAH, keputusan peperiksaan UPSR kamu, sudah pun ABAH tentukan berdasarkan siapa kamu sepanjang tahun ini.

Biar apa yang kekal di memori mereka adalah apa yang mereka perlukan sebagai bekalan kejayaan hidup ini. Bukan kebanggaan sementara yang pantas hilang ditelan masa.

Syabas buat semua anak murid yang berusaha. Tahniah buat mereka yang mendapat keputusan tinggi, ia bonus yang menggembirakan diri.

Kejayaan bukan destinasi. Ia sebuah perjalanan.

Apa sahaja keputusan, teruskan perjalanan sebagai hamba Allah yang berusaha!

PESAN ABAH

  1. Memuji anak-anak ialah satu bentuk ganjaran yang menjadi kaedah menggalakkan mereka secara positif.
  2. Memuji, adalah lebih baik kepada memuji perbuatan anak dan bukannya memuji anak tanpa mengaitkan dengan sesuatu yang mereka buat. Ia akan mengelirukan anak-anak tentang sebab kebagusan mereka.
  3. Pujian kita bergantung kepada sistem nilai yang kita pegang dalam hidup. Kita akan memuji apa yang kita rasa bernilai. Setiap kali ibu bapa mahu memuji anak, sistem nilai mereka akan diuji.
  4. Pujilah apa yang benar-benar bernilai untuk jangka masa panjang kehidupan anak. Apabila keluar keputusan peperiksaan, walaupun anak mendapat keputusan yang terbaik sekali pun, ibu bapa harus memuji usaha, doa, tawakkal dan keyakinan diri anak-anak, lebih daripada pujian yang diberikan kepada keputusan yang diperolehi.
  5. Pujian kepada usaha, lebih daripada pujian kepada keputusan peperiksaan, membantu anak-anak memahami bahawa kejayaan di dalam hidup bukan destinasi, tetapi ia adalah sebuah perjalanan.
  6. Apabila seseorang itu berusaha dengan bersungguh-sungguh, dia sudah pun memilih untuk bersikap dengan sikap orang berjaya. Maka apa sahaja keputusan peperiksaan yang bakal diperolehi, seseorang itu sudah pun memiliki bekalan untuk cemerlang dalam hidup.
  7. Sistem pendidikan kita mesti menjadikan anak-anak (murid) sebagai ‘pelanggan utama’ yang mesti diraikan, lebih daripada meraikan IBU BAPA, GURU, Pegawai Pelajaran Daerah dan Negeri mahu pun Kementerian dan Menteri.

ABAH.MY