Archive for December 2013

Peperiksaan: Sebuah Persinggahan Kehidupan

wws

“Ini kumpulan paling teruk dalam sejarah sekolah. Semua D dan E” kata cikgu.

Saya teruja.

Jika B atau C, itu kerja cikgu akademik. Tetapi jika D dan E, ini pemberontakan. Mesti ada sesuatu yang menarik.

Saya hadir. Cikgu minta mahu menyertai kursus. Saya tidak benarkan. Hanya saya bersama ‘pelajar bermasalah’ berkenaan.

Selepas berjaya meyakinkan mereka bahawa saya bukan orang upahan sekolah, perbualan jadi makin menarik.

Ringkasannya, saya bertanya kepada setiap seorang, apakah visi dan misi mereka berkaitan dengan PMR. Antara jawapan yang saya terima:

“Saya mahu buktikan dalam PMR ini bahawa tidak lulus PMR tidak semestinya bodoh!”

Wah!

“Maknanya, kalau PMR straight A’s, tak semestinya pandai, betul tak?” saya tanya semula.

“Betul! Betul! Saya suka ustaz ini!” kata pelajar berkenaan.

“Saya tak nak score tinggi-tinggi. Biar cukup-cukup sahaja untuk masuk sekolah ***. Sekolah ini tak best. Tak ada ragbi. Saya minat ragbi!” kata seorang lagi.

“Kerajaan sudah hendak mansuhkan PMR, ustaz. Maknanya PMR ini tidak penting. Saya tidak mahu korbankan usia muda saya untuk benda yang tidak penting. Masa yang berlalu tidak boleh diulang kembali!” hujah seorang lagi.

Ada sekitar 20 set jawapan yang saya terima daripada mereka. Kesimpulan saya, mereka tidak bodoh. Kepandaian mereka tidak dapat ditampung dan diuruskan oleh sistem yang ada.

DENGAR DAN FAHAM SEBELUM MINTA DIDENGAR DAN DIFAHAMI

Sebagai da’i (dalam kursus itu saya digelar ‘motivator’), tugas saya adalah untuk mendengar terlebih dahulu, cuba memahami, dan membina kepercayaan terlebih dahulu sebelum mereka boleh mendengar saya, memahami, dan sudi mempertimbangkan saranan saya.

Sudah tentu, saya tidaklah bermaksud yang peperiksaan PMR atau SPM itu langsung tidak berguna dan pelajar berkenaan 100% betul pada sikap mereka. Sebaliknya peperiksaan itu boleh jadi berguna apabila diletakkan pada konteks yang betul dan berpada.

“PMR, walaupun tanpa ia kamu tetap boleh meneruskan hidup dan mencapai impian kamu tanpanya, sebab hanya di Malaysia ada PMR, tetapi ada sesuatu pada semua orang di dunia, apabila mereka mahu berjaya. Kamu rasa apa dia?” saya bertanya.

“Doa ibu bapa” jawab seorang.

“Solat” jawab seorang lagi.

Dan ada beberapa jawapan yang mereka kongsi.

kejayaan

kredit foto merdeka-online.com

DISIPLIN

“Betul belaka jawapan itu. Namun yang saya nak tekankan di sini ialah, untuk berjaya, kamu perlukan DISIPLIN” saya menyambung pengisian.

Mendengar perkataan ‘disiplin’, ada peserta sudah berubah muka. Ustaz ini nak bancuh kita barangkali.

“Disiplin yang saya maksudkan ialah, kamu bersabar dengan benda-benda yang kamu tak suka, supaya nanti kamu dapat apa yang kamu suka. Keputusan PMR bukan penentu hidup kamu, tetapi PMR yang kamu tak suka ini, jika bersabar menempuhnya, sabar itu memberi kejayaan lumayan di dunia dan di akhirat”

“Keputusan peperiksaan kamu akan ditelan masa dan dilupakan. Namun pengalaman bersabar dan berusaha, yakni disiplin, kekal sepanjang hayat. Bolehkah berjaya dalam hidup kalau tak lulus PMR dan SPM? Boleh, jika selepas berusaha, kamu masih gagal kerana faktor-faktor yang pelbagai. Tetapi kamu akan gagal dunia dan akhirat, andai kegagalan kamu dalam peperiksaan adalah susulan sikap malas, tidak berdisiplin, semua nak cepat, enggan berusaha” saya merumuskan perbincangan, sebelum masuk ke sesi melakar perancangan untuk mencapai impian masing-masing.

Peperiksaan hanya salah satu. Namun perjalanan, hanya ada satu.

KISAH KUMPULAN PELAJAR BERPOTENSI

Itu kisah semasa saya bertemu kumpulan pelajar ‘bermasalah’. Berbeza pula dengan pengalaman saya semasa bertemu dengan pelajar ‘berpotensi.

“Saya harap ustaz dapat beri motivasi kepada ibu bapa calon PMR dan SPM kita agar mereka boleh tekankan lebih sedikit kepada anak-anak mereka”

Ibu bapa dari seluruh pelusuk negeri dikumpul di sekolah, sekolah asrama. Ibu bapa datang dari jauh, untuk pastikan dapat ‘menekan’ anak-anak menduduki peperiksaan. Ia perkataan yang dipakai oleh guru.

Guru bentang statistik perbandingan keputusan PMR dan SPM tahun-tahun lalu, dan merumuskan “harap kamu tidak menghampakan sekolah tahun ini”

“Ini pelajar terbaik peperiksaan percubaan tahun ini. Walaupun beliau pendiam dan jarang bersuara atau bertanya di dalam kelas, apa sahaja yang cikgu ajar, dia faham dengan begitu baik. Contohilah dia” kata pengerusi majlis selepas mempelawa pelajar berkenaan naik ke pentas.

Beliau berjalan lesu. Bahu jatuh, tengok lantai.

“Calon-calon PRM dan SPM sila naik ke atas pentas untuk upacara ikrar, tanda memberi sepenuh diri kepada peperiksaan” pelawa guru.

Bagaimanakah saya hendak berceramah di dalam setting yang saya bantah? Wajah pelajar yang masam mencuka itu sudah sedia merimaskan saya untuk memulakan ceramah.

srp

Biodata penceramah: Saya menjadi pelajar pertama di dalam sejarah sekolah, dan satu-satunya pelajar pada masa itu, mendapat 8A1 di dalam SRP 1990. Pengalaman itu diharapkan boleh menjadi bekal untuk saya ‘boost’ calon PMR, juga SPM mendapat keputusan sebegitu. Itu harapannya.

Namun semua ritual itu tiada pada masa tersebut. Kami sesama pelajar belajar dengan bimbingan guru yang melebihkan sedikit kelas menjelang bulan akhir peperiksaan. Saya juga tidak mensasarkan keputusan tertentu. Hanya berusaha membuat yang terbaik. Ceramah motivasi pun tiada. Hanya nasihat ikhlas guru-guru yang kepuasannya ialah selesai mengajar kami.

Apabila keputusan keluar, saya ambil keputusan peperiksaan di tingkap kerani sekolah sahaja. Tiada banner gilang gemilang, tiada surat khabar, hanya salam-salam persahabatan dengan rakan-rakan, tahniah para guru semasa saya lalu di hadapan bilik guru, bawa keputusan balik rumah, ibu bapa senyum, kata Alhamdulillah, dan hidup diteruskan seperti biasa. Dan selepas SRP, ada banyak lagi peperiksaan lain.

Manakala saya yang dapat 8A1 pada tahun 1990 itu, pada hari ini bukanlah insan paling berjaya di kalangan rakan-rakan saya, 23 tahun selepas ia berlalu.

Saya merayu kepada ibu bapa, jangan hina anak-anak anda dengan muka kecewa, apabila anak anda gagal mendapat keputusan idaman anda. Jika ibu bapa gagal menjadi benteng terakhir anak menyelamatkan diri daripada kegilaan peperiksaan di sekolah, memang wajar anak-anak melebihkan kawan-kawan berbanding ibu bapa mereka sendiri.

Semasa saya ke hadapan pelajar, pesan saya satu sahaja, iaitu pesanan saya kepada diri saya sendiri semasa menduduki SRP lebih 20 tahun lalu, “jadikan PMR dan SPM ini cita-cita kamu, bukan cita-cita ibu bapa atau guru atau pegawai pendidikan daerah atau negeri, atau menteri. Kamu bukan pekerja untuk menghasilkan A di dalam industri pendidikan”

Rahmati kami ya Allah. Kasihanilah anak-anak kami.

Tahniah kepada semua pelajar PMR yang mendapat keputusan peperiksaan kalian baru-baru ini. Apa sahaja keputusannya, kalian wajib lebih pintar dari PMR. Jangan biarkan PMR membataskan potensi semua.

Kejayaan adalah sebuah perjalanan, bukan destinasi.

P/s: saya sudah tidak lagi mengendalikan kursus-kursus motivasi, termasuk untuk pelajar sekolah. Andai ada tips berguna di dalam catatan ini, saya berterima kasih jika ibu bapa, guru, penceramah atau sesiapa sahaja memanfaatkannya dalam interaksi masing-masing bersama anak-anak kita.

ABAH.MY