
Cuti sekolah sudah bermula.
Apakah yang dirancang untuk cuti kali ini?
Anak-anak kita mungkin amat seronok jika mereka ke Theme Park dan dihiburkan oleh alat-alat hiburan yang disediakan di sana.
Tetapi kalau kita semua boleh menjadi ibu bapa yang menghiburkan hati mereka, cuti di halaman rumah pun boleh jadi sangat bermakna dan dikenang sehingga dewasa.
CERIA DAN MENCERIAKAN
Menjadi seorang yang ceria, bagi sesetengah orang memang mudah.
Malah mungkin dia tidak dapat membayangkan dirinya selain daripada watak seorang yang ceria. Dia memang ceria. Happy go lucky! Untungnya jadi orang yang begitu. Dia bahagia, dia juga membahagiakan.
Namun untuk ‘kaum bapa’, lain ceritanya.
Para bapa yang muda tiada masalah bab ini. Seronoknya menyambut, memeluk, menimang dan membelai anak yang seorang atau dua itu dengan sepenuh hati. Muka baba, muka mama dan muka ‘tomey-tomey’ itu semuanya ceria lagi berseri dengan mata yang bercahaya.
Para bapa yang senior pun Insya Allah boleh sahaja. Banyak pengalaman, kurang tekanan rutin harian, dia itu ceria dan menceriakan anak cucunya.
BAPA MID LIFE CRISIS
Tetapi para bapa yang duduk di antara junior dan senior itu, mereka berjuang.
Tekanan kerja, tekanan kewangan, fikiran makin matang untuk memiliki perspektif yang lebih serius tentang isu politik, ekonomi dan sosial negara, mengekalkan diri dalam mood ceria bukan satu perkara yang mudah. Banyak liku-likunya.
Saya menyemak carian Google.Com berkenaan tekanan para bapa, dan hasilnya agak kurang memberansangkan. Para bapa DIKEHENDAKI mengawal stress mereka kerana stress dan kemurungan seorang bapa akan menjejaskan rumahtangga dan keluarga. Bapa ‘tidak dibenarkan’ stress sebab menjadi stress itu bersifat ‘mementingkan diri sendiri’ serta menyakiti insan tersayang di sekeliling seorang bapa.
Hampir seluruh hasil carian memberitahu para bapa apa yang mereka MESTI buat, dan tidak banyak yang memberitahu BAGAIMANA ia boleh dibuat.
Semua saranan yang dikemukakan menambah tekanan, ketika mana tekanan itu adalah punca kemurungan para bapa. Stress seorang bapa apabila dianggap sebagai suatu kesalahan, akan menambahkan lagi kemurungan itu.
Para bapa… tabahkan hatimu.
Dek kerana engkau dibayangkan sebagai lelaki yang 9 fikiran 1 perasaan, 1 perasaanmu itu sering tidak terpelihara dan diabaikan. Kesannya, ia mengganggu 9 fikiran yang menggalas tanggungjawabmu sebagai pemimpin.
Tenangkan diri.
Saya juga tiada jawapan untuk para bapa yang tertekan.

Hanya ajakan untuk kita berbincang sesama kita BLOG dan Facebook ABAH.MY.
Serta membanyakkan doa:

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. [Al-Furqan 25: 74]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
(3076)
salam, ustaz..hmm saya seorang guru, oleh sebab kerjaya saya bergelumang dgn mereka (murid-murid) saya rasa perkara yang susah nak buat zaman dulu dah senang nak buat sekarang(iaitu menceriakan orang lain),,ustaz tenunglah lama-lama anak ustaz dan bayangkan ustaz adalah mereka, cuba amati apa yang mereka cakap,cerita dlll, then senyum pada mereka sampai mereka perasan ustaz senyum pada mereka, selepas itu akan berlangsung beberapa dialog antara ustaz dan mereka, saya rasa lepas tu ustaz tahulah nak buat apa agar gembira bersama mereka…sesekali menjadi kanak-kanak sangat melegakan dunia fikir kita, cubalah!
Alhamdulillah. Suka saya tengok keadaan ibu bapa yg prihatin & bertanggungjawab pada anak2. Memang penat melayan kerenah anak2. Mereka sedang menuju dewasa, Insya Allah, perkembangan fizikal, emosi dan rohani yang baik di bawah bimbingan ibu bapa yang baik. Tahniah Ustaz…