Membangunkan Watak Para Bapa di Singapura

“Program petang ini bukan program yang mudah. Kita menongkah arus” saya memberi komen kepada sukarelawan yang menjadi petugas program.

Kami bakal menjalankan Bengkel Bapa Hero, iaitu bengkel yang membicarakan tentang Fiqh Kebapaan, Psikologi Kebapaan dan seterusnya Bapa 360 Darjah yang mudah-mudahan menjurus kepada semangat sebenar di sebalik pembentukan institusi keluarga berteraskan Islam.

“Berapa ramai watak bapa yang kita temui di dalam al-Quran berbanding watak ibu? Nuh sebagai bapa. Ibrahim, Syuaib, Luqman, Zakaria, ‘Imran malah junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Ertinya, banyak teladan ditujukan secara langsung kepada para bapa” saya memulakan wacana.

Program Bengkel Bapa Hero petang itu dianjurkan oleh Unit Pembangunan Sosial Masjid Kampung Siglap (MKS) dengan kerjasama Kelab Masyarakat Tampines East. Biar pun bunyinya agak janggal, namun saya mengucapkan syabas kepada pihak penganjur atas komitmen mengusahakan juga Sunnah yang dilupakan ini. Sunnah mendidik para bapa.

Koleksi foto sepanjang jelajah saya di Singapura pada Februari 2011 yang lalu – Kredit kepada Masjid al-Mawaddah dan Saudara Adly Amin

Saya sudah mengikuti perkembangan gerakan “Good Fathering” di Singapura sejak sekian lama. Malah aktiviti kumpulan Dad’s For Life juga sentiasa saya ikuti. Singapura segera maju ke hadapan mengisi keperluan ini apabila gejala sosial dan kerapuhan institusi keluarga dilihat puncanya banyak berkisar pada kelemahan watak seorang bapa di dalam sebuah keluarga.

Lemah daya kepimpinan.

Lemah membuat keputusan.

Lemah dalam komunikasi.

Lama mengagumi usaha di Singapura, biar pun ia banyak dipelopori oleh rakan-rakan yang beragama Kristian dan Buddha. Namun akhirnya ‘penantian’ saya terisi apabila pihak Masjid Kampung Siglap menghubungi saya dan mengajak untuk membangunkan modul Bapa Hero untuk dibentangkan di sebuah program di seberang tambah. Saya tanpa berlengah, memberikan 100% persetujuan.

Saya sendiri baru 9 tahun berpengalaman menjadi bapa.

Namun apa yang disampaikan, bukan menilai pengalaman orang dengan pengalaman sendiri. Sebaliknya, secebis pengalaman sendiri, hanya mewakili sepotong kek persembahan yang lebih banyak diisi dengan hasil pergaulan saya dengan remaja-remaja yang merupakan hasil, mahu pun mangsa, kepada kualiti baik atau buruknya para bapa. Panduan-panduan daripada al-Quran dan al-Sunnah menjadi teras pada membina kerangka yang terbaik untuk memandu para bapa memimpin rumahtangga dan keluarga.

Petikan www.dadsforlife.sg

PENDEKATAN ALA GERILA

“Ramai ke bapa yang datang?” tanya seorang sahabat.

“Kalau yang datang hanya seorang pun, kita teruskan juga” kata AJK program.

Memang benar. Bukan satu perkara yang mudah untuk mengajak kaum bapa hadir ke kursus. Cepat sahaja kursus itu disangka sebagai sesi untuk membetulkan mereka. Namun kita tidak boleh mengalah. Ia mesti dimulakan.

“Di Malaysia, apa yang saya cuba buat, ialah melakukan program ini ala gerila. Jika satu program khusus tidak dapat dibuat, saya sentiasa akan selitkan di mana-mana sahaja ruang saya bercakap. Di kuliah Maghrib atau di ceramah korporat, saya akan selitkan beberapa elemen khusus sebagai pesanan untuk kaum bapa. Namun saya juga berdoa, mudah-mudahan dengan hebahan Bengkel Bapa Hero di Singapura ini, masyarakat di Malaysia juga akan tergerak hati untuk meneroka serta mengembangkannya” saya berkongsi.

“Insya Allah” kami semua tersenyum.

Optimis.

Biar pun saya berdiri di hadapan para bapa yang lebih berpengalaman, apa yang lebih penting ialah, program kebapaan seperti ini menjadi medan terbaik untuk diri saya sendiri, melakukan muhasabah dan penambah baikan diri.

Terima kasih anak-anakku.

Kalianlah guru paling hiper yang pernah Abi, dan Ummi temui!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG (818)

Sembang ABAH

komen

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*